Malam Qolbu Himpunkan Bintang Nasyid Dalam Satu Malam Istimewa

Barisan artis yang bakal menjayakan Malam Qolbu

DI saat dunia hiburan bergerak pantas dengan pelbagai bentuk persembahan dan trend baharu, masih ada ruang untuk sebuah acara yang mengajak penonton kembali mengisi jiwa.

Atas semangat itu, Konsert Malam Qolbu bakal berlangsung di Idealive Kuala Lumpur pada 24 Ogos 2026, bersempena sambutan Maulidur Rasul.

Lebih daripada sekadar konsert, Malam Qolbu hadir sebagai sebuah pertemuan yang menggabungkan seni, penghayatan dan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam suasana yang lebih dekat dengan masyarakat masa kini.

Menurut penganjur, acara tersebut lahir daripada keinginan untuk mewujudkan ruang yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut memberi pengisian rohani kepada penonton melalui selawat, kisah sirah dan peringatan yang menyentuh hati.

Platform seni mampu menjadi medium yang berkesan untuk menyampaikan mesej positif, sekali gus menghubungkan masyarakat dengan nilai-nilai yang sering menjadi pegangan dalam kehidupan seharian.

Islamik Nusantara Musik Jadi Nadi Persembahan

Mengangkat konsep Islamik Nusantara Musik, Konsert Malam Qolbu bakal menampilkan barisan nama besar yang cukup dekat dengan peminat muzik Islamik dan nasyid yang terdiri daripada Opick, Rabbani, Mawi, UNIC serta The Rayhan.

Persembahan yang disusun sepanjang malam itu tidak hanya tertumpu kepada nyanyian semata-mata. Ia turut diperkaya dengan elemen penceritaan menerusi Gimik Pembukaan Sirah & Cahaya, segmen Interlude Pantomim dan Visual Poetry sebelum diakhiri dengan alunan Selawat Nabi yang dijangka menyatukan seluruh hadirin dalam satu suasana penuh makna.




Penganjur berharap penganjuran sulung ini mampu membuka ruang baharu kepada acara hiburan Islamik di Malaysia, sekali gus membuktikan bahawa program berteraskan pengisian rohani masih mempunyai tempat tersendiri dalam kalangan masyarakat, termasuk generasi muda.

Malah, sambutan luar biasa terhadap program Islamik di negara jiran seperti Indonesia dilihat sebagai petunjuk bahawa masyarakat masih mencari kandungan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut memberi inspirasi dan ketenangan.

Konsert Malam Qolbu merupakan hasil kolaborasi antara Duyufurrahman Travel & Tours Sdn Bhd dan Aftermusic Project dengan kerjasama strategik Laskar Entertainment.

Tiket kini boleh didapati menerusi Ticketmelon dan Fantopia dengan harga bermula RM250 hingga RM350. Harga khas untuk pelajar turut disediakan bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat menyertai malam yang dijangka menjadi antara acara istimewa sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments