| Umbrella bakal menggamit nostalgia era 1990-an menerusi konsert Seribu Rahmat |
SATU malam yang menjanjikan nostalgia, emosi dan tenaga segar bakal mewarnai utara tanah air apabila Konsert Seribu Rahmat Umbrella diumumkan akan berlangsung pada 6 Jun 2026 di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.
Lebih daripada sekadar persembahan muzik, acara ini dilihat sebagai sebuah pertemuan semula antara era, generasi dan rasa cinta terhadap muzik tempatan yang pernah membentuk memori ramai.
Dibawakan oleh Pertubuhan Bahtera Prihatin Rakyat Perlis (PBPRP), konsert ini menampilkan kumpulan legenda Umbrella sebagai tunjang utama, bersama kehadiran istimewa Zamani serta kumpulan Floor 88.
Gabungan ini bukan sekadar barisan artis, tetapi sebuah percubaan berani untuk merapatkan jurang generasi daripada peminat era 90-an yang membesar dengan lagu-lagu puitis, hingga ke generasi digital mengenali muzik melalui platform penstriman.
Pemilihan Kedah sebagai lokasi penganjuran turut membawa makna tersendiri. PBPRP melihatnya sebagai usaha membawa penganjuran konsert berskala besar keluar dari pusat bandar utama, sekali gus memberi ruang kepada wilayah utara untuk menjadi pentas budaya yang lebih aktif.
Dewan Mu’adzam Shah pula dipilih kerana fasiliti profesionalnya yang mampu menampung produksi berskala tinggi, selain kedudukannya yang strategik untuk peminat dari Perlis, Pulau Pinang, Perak Utara dan selatan Thailand.
Konsert ini dijangka berlangsung lebih dua jam 30 minit dengan sekitar 20 buah lagu hit yang merentasi zaman. Umbrella akan menghidupkan kembali karya ikonik seperti Ramalanku Benar Belaka dan Bukalah Hatimu, manakala Zamani pula bakal membawa aura emosinya menerusi Gerimis Mengundang dan Kembali Terjalin. Tidak ketinggalan, Floor 88 akan menyuntik tenaga moden dengan lagu-lagu popular seperti Hutang dan Chikadun.
Nostalgia, Teknologi dan Rasa Baharu
Vokalis Umbrella, Zarul Husin, menyifatkan penganjuran ini sebagai satu momen cukup bermakna dalam perjalanan seni kumpulan itu, lebih-lebih lagi apabila ia berlangsung di lokasi yang mempunyai nilai sentimental tersendiri.
“Ini merupakan kali pertama Umbrella mengadakan konsert di UUM. Hubungan ini terjalin secara unik memandangkan pemain bass kami sendiri merupakan kakitangan di universiti tersebut.
“Kami bakal mempersembahkan kira-kira 13 buah lagu yang diambil sepenuhnya daripada album Seribu Rahmat dan Hujan Panas. Ia benar-benar sebuah perjalanan nostalgia, malah ketika sesi latihan, saya sendiri merasai emosi yang mendalam kerana sudah lama tidak menyanyikan lagu-lagu tersebut,” ujarnya.
Jelas Zarul lagi, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya sebuah penghargaan terhadap perjalanan panjang Umbrella dalam industri muzik.
“Kami mahu penonton merasai satu ‘perjalanan’. Lagu-lagu yang dipilih adalah yang cukup dekat di hati peminat tegar, termasuk kemungkinan lagu daripada album Payung Sakti dan persembahan solo saya sendiri. Ini adalah hadiah buat mereka yang setia menyokong kami sejak awal 90-an,” katanya.
Menambah keunikan acara, konsert ini turut mengangkat elemen teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam persembahan visualnya. Penonton bakal dibawa menyusuri perjalanan Umbrella melalui paparan video arkib yang diolah semula secara digital, menampilkan momen-momen lama yang diberi nafas baharu melalui teknologi moden.
| Zamani dan Floor 88 akan turut menghangatkan konsert Seribu Rahmat sebagai artis undangan |
Lebih istimewa, buat julung kalinya Umbrella dan Zamani akan berkongsi pentas dalam segmen medley khas yang menggabungkan lagu-lagu popular mereka, menjanjikan momen yang sukar untuk dilupakan oleh peminat.
Di sebalik kemeriahan pentas, penerbitan kreatif konsert ini turut digerakkan oleh komposer terkenal, Dr Azmeer, yang bertanggungjawab memastikan setiap susunan muzik dan kualiti audio berada pada tahap terbaik.
Dengan penglibatan lebih 150 petugas tempatan, acara ini turut dijangka memberi impak positif kepada ekosistem ekonomi kreatif di wilayah utara, khususnya dari aspek peluang kerja dan sokongan tenaga produksi. Tiket-tiket kini sudah mula dijual dengan Harga RM150, RM100 dan RM50.
Penganjuran ini secara tidak langsung mencerminkan perkembangan positif industri hiburan tempatan yang semakin terbuka kepada lokasi di luar pusat bandar utama, selain memperlihatkan kerjasama pelbagai pihak dalam mengangkat pengalaman konsert berskala besar ke lebih banyak wilayah di Malaysia. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments