ADA sesuatu yang istimewa setiap kali Ella pulang ke pentas yang dekat dengan akar seninya. Kali ini, momen itu bakal kembali tercipta apabila Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru disahkan akan berlangsung di Setia SPICE Arena, Pulau Pinang pada 22 Ogos 2026.
Perubahan tarikh dan lokasi ini dipersetujui selepas perbincangan antara pihak penganjur, produksi dan Ella sendiri, dengan satu matlamat yang sama untuk memastikan pengalaman malam itu terasa lebih dekat, selesa, dan memberi kesan kepada peminat.
Setia SPICE Arena dipilih bukan sekadar kerana fasilitinya, tetapi kerana 'rasa' yang pernah tercipta di ruang sama sebelum ini. Susun atur yang lebih intim, sistem bunyi terkawal serta suasana tertutup menjadikan persembahan lebih fokus dan imersif, seolah-olah setiap lagu hadir lebih dekat dengan penonton.
Di sebalik aspek teknikal itu, kelebihan dari segi keselesaan dan logistik turut menjadi faktor penting, termasuk perlindungan daripada cuaca tidak menentu serta akses kemudahan yang lebih baik untuk pengunjung.
Lebih daripada itu, venue ini membawa nilai sentimental tersendiri apabila konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota pernah berlangsung di sini dengan kehadiran lebih 14,000 peminat, menjadikannya antara detik penting dalam perjalanan seni Ella di Pulau Pinang.
Sebuah Kepulangan
Pemilihan semula venue ini turut tercetus daripada permintaan peminat yang mahu menghidupkan kembali pengalaman konsert di ruang yang sama.
Walaupun tarikh asal 25 Julai 2026 tidak dapat diteruskan akibat kekangan ketersediaan, 22 Ogos dipilih sebagai tarikh paling sesuai bagi memastikan keseluruhan produksi berjalan pada tahap terbaik tanpa mengorbankan kualiti persembahan.
Pihak penganjur mengekalkan harga tiket seperti yang diumumkan sebelum ini. Bagi pemegang tiket sedia ada, tempat duduk akan dipindahkan secara automatik ke kategori setara di Setia SPICE Arena tanpa sebarang kos tambahan.
Kempen Peace, Love & Rindu turut diteruskan, dengan RM2 daripada setiap tiket disalurkan kepada badan kebajikan terpilih iaitu Peace kepada ABIM Pulau Pinang, Love kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN), dan Rindu kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.
Malam istimewa ini turut diserikan dengan kehadiran Datuk Ramli Sarip dan Ziana Zain sebagai artis jemputan, manakala beberapa nama lain akan diumumkan kemudian.
Bersempena tema konsert, peminat disaran hadir dengan gaya ‘90’s Glam Rock: Battle of The Bands’, menghidupkan semula era awal muzik Ella daripada denim, jaket kulit hingga aura glam grunge era Ella & The Boys.
Ella, 60, menyambut perubahan ini dengan hati terbuka, melihatnya sebagai usaha memastikan peminat menerima pengalaman terbaik untuk malam kepulangan itu.
“Seperti biasa, keutamaan saya adalah untuk memberikan yang terbaik kepada semua dan memastikan setiap persembahan menjadi pengalaman yang istimewa.
"'Homecoming' ini, insya-ALLAH akan tetap berlangsung. Saya sangat teruja untuk kembali bertemu mereka di Utara yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions menjelaskan bahawa keputusan ini dibuat selepas pertimbangan teliti, dengan Setia SPICE Arena dilihat lebih sesuai dari segi skala dan pengalaman keseluruhan konsert.
Lebih daripada sekadar perubahan tarikh dan lokasi, Homecoming Edisi 60 Permata Biru kini menjadi sebuah janji kepulangan dengan membawa Ella kembali ke ruang yang pernah menjadi saksi perjalanan seninya, dan mungkin mencipta satu lagi malam yang akan terus dikenang. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments