| Ketua Cef Kedutaan Republik Türkiye, Chef Leyla Özdemir, bersama hidangan tradisional Turki sempena Turkish Cuisine Week 2026 |
DI Türkiye, meja makan bukan sekadar tempat menikmati hidangan. Ia menjadi ruang yang menyatukan keluarga, menyimpan kenangan dan mewariskan tradisi yang telah bertahan selama berabad-abad.
Semangat itulah yang menjadi nadi kepada Turkish Cuisine Week (TCW) 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 27 Mei di Türkiye.
Memasuki tahun kelima penganjurannya, sambutan tahunan ini mengetengahkan tema The Heritage Table (Bir Sofrada Miras), yang mengajak masyarakat melihat masakan Turki bukan sekadar melalui rasa, tetapi juga melalui kisah dan warisan yang dibawanya.
Lebih daripada himpunan hidangan tradisional, The Heritage Table menampilkan masakan Turki sebagai warisan budaya yang dibentuk selama berabad-abad menerusi migrasi, ritual, kerjasama komuniti dan tradisi yang berkembang di sekeliling meja makan.
Di sebalik setiap resipi tersimpan memori, adat dan pengalaman hidup yang diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Berakar daripada ribuan tahun sejarah, masakan Turki terus menjadi medium penceritaan yang menghubungkan masa lalu dengan masa kini, sekali gus mencerminkan identiti budaya masyarakatnya.
Mesej utama sambutan tahun ini, “The table is the oldest language of togetherness. Food connects people across time”, menggambarkan bagaimana meja makan menjadi ruang pertemuan budaya, tempat kenangan dipelihara dan tradisi terus berkembang merentasi zaman.
Pengalaman Budaya
Di Malaysia, semangat The Heritage Table diterjemahkan menerusi satu jamuan makan tengah hari istimewa anjuran Pejabat Pelancongan dan Informasi Kedutaan Republik Türkiye yang berlangsung di kediaman rasmi Duta Besar Türkiye.
Acara tersebut memberi peluang kepada para tetamu menikmati kehangatan hospitaliti Turki sambil mengenali kepelbagaian warisan kulinari negara itu. Dalam suasana yang mesra dan santai, makanan menjadi medium yang merapatkan hubungan serta memperkenalkan tradisi yang telah membentuk budaya Türkiye sejak sekian lama.
Menurut Duta Besar Türkiye ke Kuala Lumpur, H.E. Emir Salim Yüksel, Turkish Cuisine Week bukan sekadar platform untuk memperkenalkan cita rasa Türkiye kepada masyarakat antarabangsa, tetapi juga ruang untuk berkongsi warisan, memori dan semangat kebersamaan yang diwarisi turun-temurun melalui makanan.
Sambutan kemudiannya diteruskan dengan bengkel khas hasil kerjasama bersama Le Cordon Bleu yang melibatkan 40 pelajar. Dikendalikan oleh Chef Leyla Özdemir, Ketua Cef di Kedutaan Republik Türkiye, peserta diperkenalkan kepada teknik penyediaan beberapa hidangan tradisional yang menjadi kebanggaan negara itu, termasuk Kuzu Tandır iaitu kambing panggang perlahan dan Keşkek, hidangan gandum serta daging yang sarat dengan nilai budaya.
Selain mempelajari teknik memasak, peserta turut didedahkan kepada bahan-bahan dan tradisi yang membentuk identiti kulinari Türkiye.
Menurut Kaunselor Hal Ehwal Kebudayaan dan Pelancongan, Mustafa Korkutata, pendekatan interaktif seperti ini membolehkan peserta memahami masakan Turki dengan lebih mendalam melalui pengalaman secara langsung.
Antara hidangan yang menjadi tumpuan sepanjang sambutan tahun ini ialah Keşkek yang diiktiraf UNESCO sebagai simbol semangat kebersamaan dan kerjasama komuniti. Baklava pula melambangkan ketelitian seni pembuatan yang diwariskan merentas generasi.
Mantı atau dumpling Turki mencerminkan sejarah migrasi dan perjalanan masyarakatnya, manakala Dolma menggambarkan kepelbagaian budaya yang berkongsi tradisi kulinari yang sama. Hidangan manis Helva pula menjadi simbol solidariti, memori dan hubungan yang terus hidup dalam masyarakat Turki.
Daripada Keşkek yang meraikan semangat kebersamaan sehinggalah Baklava yang diwariskan dari satu generasi ke generasi berikutnya, setiap hidangan membawa kisah tersendiri.
Melalui tema The Heritage Table, Turkish Cuisine Week 2026 mengingatkan bahawa makanan bukan sekadar tentang rasa, tetapi juga tentang manusia, sejarah dan warisan yang terus hidup di sekeliling meja makan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments