ATLAS Nutri Aid: Inisiatif Susu Percuma Untuk Pelajar Sekolah

(Dari kiri) Suet Ching Teh, Ketua Komersial, Etika Sdn Bhd; Tuan Haji Yusaini Salleh, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor; Hemalatha Ragavan; Puan Sri Datin Paduka Thamayanthi Devi Ampikaipakan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Raja Muda Selangor; Muhammad Syazwan Mohd Daut; dan Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran, Etika Sdn Bhd.

DI sebalik bunyi mesin vending yang biasanya dikaitkan dengan snek dan minuman segera, muncul satu idea yang membawa makna lebih besar iaitu bagaimana jika teknologi ini boleh menjadi 'jambatan' kepada nutrisi harian kanak-kanak di sekolah.

Sempena sambutan World Milk Day, ATLAS Vending, cabang mesin layan diri di bawah Etika Sdn Bhd, melancarkan ATLAS Nutri Aid di Goodday Milk Factory, Petaling Jaya pada Khamis.

Namun kali ini, fokusnya jauh melangkaui sekadar pelancaran produk. Ia sebuah inisiatif sosial yang digerakkan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), dengan satu misi jelas untuk mengurangkan jurang pemakanan dalam kalangan murid sekolah rendah daripada keluarga berpendapatan rendah.

ATLAS Nutri Aid menggunakan sistem vending pintar untuk membolehkan pelajar mendapat susu berkualiti tinggi secara percuma setiap hari persekolahan.

Di sebalik kesederhanaan satu kotak susu, tersembunyi isu yang lebih besar iaitu ramai kanak-kanak dalam komuniti B40 masih berdepan cabaran mendapatkan nutrisi asas secara konsisten.

Program ini bukan lahir secara tiba-tiba. Ia dibangunkan selepas fasa percubaan di beberapa sekolah menunjukkan respons yang menggalakkan, dengan penglibatan pelajar yang tinggi serta penggunaan sistem yang stabil. Hasilnya, ia kini diperluaskan dengan pemasangan 10 mesin ATLAS Nutri Aid di sekolah terpilih.

YRMS pula memainkan peranan penting sebagai penghubung di lapangan daripada sokongan dana sehinggalah mengenal pasti pelajar yang benar-benar layak menerima manfaat, memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasaran yang tepat.

Nutrisi Yang Hilang Di Celah Kos Sara Hidup

Di Malaysia, isu pemakanan kanak-kanak bukan sekadar tentang makanan yang tidak mencukupi, tetapi juga tentang nutrien yang tidak lengkap  atau lebih dikenali sebagai 'hidden hunger'.

Data menunjukkan cabaran ini semakin membimbangkan. Kadar 'stunting' kanak-kanak di Malaysia meningkat kepada 24 peratus (%) pada 2024, lebih tinggi berbanding beberapa negara serantau seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan Singapura.

Kajian SEANUTS II pula mendedahkan lebih 70% kanak-kanak tidak mencapai pengambilan harian yang disyorkan bagi kalsium dan vitamin D. Dalam masa sama, tekanan kos sara hidup turut memburukkan keadaan, dengan kadar ketidakcukupan makanan kanak-kanak di kawasan bandar B40 dilaporkan mencecah 58.4%.

Dalam konteks inilah ATLAS Nutri Aid cuba masuk, bukan sebagai penyelesaian tunggal, tetapi sebagai intervensi harian yang konsisten dan mudah diakses di sekolah.

Susu yang disalurkan melalui program ini ialah Goodday Charge Milk, di bawah portfolio Etika, yang diformulasikan dengan 10 nutrien penting untuk menyokong tenaga, kesihatan tulang dan perkembangan kognitif kanak-kanak.

Pelaksanaan sistem ini menggunakan kad ‘tap-and-go’ yang diselaraskan dengan waktu persekolahan. Ia memastikan akses hanya berlaku pada hari sekolah, sekali gus mengelakkan pembaziran dan memastikan pengagihan lebih telus.

Lebih daripada sekadar teknologi, pendekatan ini juga membawa dimensi maruah, memberi pelajar akses bantuan tanpa rasa dipinggirkan atau bergantung secara terbuka.


Menurut CEO Etika & International Exports, Hemalatha Ragavan, akses kepada nutrisi asas tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada perkembangan kanak-kanak.

“Bagi banyak keluarga, menyediakan nutrisi harian bukan sesuatu yang sentiasa terjamin. Dengan ATLAS Nutri Aid, kami mahu memastikan setiap kanak-kanak mendapat susu setiap hari persekolahan,” katanya.

Tambahnya lagi, pendekatan berasaskan teknologi ini membantu memastikan bantuan lebih konsisten, tersusun dan memberi impak jangka panjang termasuk potensi meningkatkan kehadiran ke sekolah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Muda Selangor, Muhammad Syazwan Mohd Daut, melihat inisiatif ini sebagai asas penting dalam membina potensi pelajar.

“Pemakanan yang baik adalah asas kepada pembelajaran. Melalui program ini, kita bukan sahaja memberi makanan, tetapi membuka ruang untuk mereka belajar dan membina masa depan,” jelasnya.

ATLAS Nutri Aid membawa satu idea yang sangat ringkas tetapi besar maknanya. Setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang, berhak untuk membesar dengan cukup nutrisi, belajar dengan baik, dan berkembang dengan peluang yang sama. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments