Fenomena Liminal Space — Kenapa Ruang Kosong Boleh Terasa Seram Walaupun Biasa?


PERNAH tak terlihat gambar lorong sekolah yang sunyi, eskalator pusat beli-belah yang tidak bergerak, atau bilik hotel yang hanya diterangi lampu kuning malap lalu tiba-tiba timbul rasa pelik yang sukar dijelaskan?

Ruang itu sebenarnya biasa, tetapi entah mengapa ia terasa 'tidak kena'. Seolah-olah ada sesuatu yang pernah berlaku di situ, atau mungkin akan berlaku, namun tiada apa-apa yang memberi konteks kepadanya.

Perasaan inilah yang dikenali sebagai liminal space, satu fenomena yang kini semakin viral dan hangat dibincangkan dalam dunia internet serta budaya visual moden.

Istilah liminal berasal daripada perkataan Latin limen, yang bermaksud ambang atau ruang peralihan. Dalam konteks ini, liminal space merujuk kepada ruang yang berada di antara dua keadaan seperti antara sibuk dan kosong, antara digunakan dan ditinggalkan, atau antara sesuatu yang masih 'hidup' dan sesuatu yang sedang menunggu. Ia bukan sekadar tentang tempat fizikal, tetapi juga satu keadaan emosi apabila sesuatu ruang kehilangan fungsi asalnya untuk seketika.

Apa yang menjadikan fenomena ini menarik ialah cara otak manusia mentafsir ruang yang 'tidak lengkap'. Secara semula jadi, kita terbiasa dengan persekitaran yang hidup dan aktif seperti sekolah dengan pelajar, pusat beli-belah dengan pengunjung, taman permainan dengan suara kanak-kanak yang bermain.

Apabila semua elemen ini hilang, yang tinggal hanyalah struktur kosong yang sepatutnya penuh dengan kehidupan. Di situlah muncul rasa janggal yang sukar diterangkan. Dari sudut psikologi, ia bukan ketakutan yang jelas, tetapi lebih kepada gangguan persepsi yang halus seakan-akan sesuatu tidak lengkap walaupun tiada ancaman yang nyata.

Otak manusia sangat bergantung kepada corak dan konteks untuk memahami dunia, jadi apabila sesuatu ruang tidak menepati jangkaan biasa, ia mencetuskan rasa 'terganggu' yang sukar dijelaskan dengan kata-kata.

Menariknya, di sebalik rasa pelik itu, liminal space juga sering membawa unsur nostalgia yang kuat. Ramai yang mengatakan ia mengingatkan mereka kepada memori lama, terutamanya zaman kanak-kanak.

Lorong sekolah yang sunyi mungkin menghidupkan kembali ingatan waktu pulang lewat petang, manakala kolam renang hotel yang kosong boleh membangkitkan suasana percutian lama yang hampir dilupakan. Seolah-olah ruang itu tidak hanya wujud di hadapan mata, tetapi juga di dalam lapisan memori yang kabur dan separuh hilang.

Fenomena ini mula mendapat perhatian besar di internet melalui fotografi dan video pendek yang menonjolkan suasana 'empty yet familiar'. Dari situ, ia berkembang menjadi sebahagian daripada budaya digital moden, termasuk kaitannya dengan konsep 'Backrooms', sebuah idea dunia alternatif yang dipenuhi ruang tanpa penghujung, dengan pencahayaan kuning malap dan suasana yang terasa tidak realistik, tetapi anehnya dekat dengan imaginasi ramai.

Walaupun sering dilihat sebagai trend visual semata-mata, liminal space sebenarnya membuka perbincangan yang lebih dalam tentang cara manusia memahami ruang, masa dan memori.

Fenomena ini mengingatkan kita bahawa sesuatu tempat bukan hanya wujud secara fizikal, tetapi juga dibentuk oleh kehadiran manusia, bunyi, dan pengalaman yang berlaku di dalamnya. Apabila semua itu hilang, yang tinggal bukan sekadar sunyi tetapi juga rasa seolah-olah ada cerita yang terhenti di tengah jalan.

Mungkin itulah yang menjadikan liminal space begitu meresahkan dalam diam. Ia tidak perlu bergerak, tidak perlu bersuara, dan tidak perlu menjelaskan apa-apa. Dalam kekosongan itu sendiri, ia sudah cukup untuk membuat kita berhenti seketika, dan tertanya-tanya kenapa ruang yang biasa boleh terasa begitu tidak biasa?

✍️ Nota by Sang Latte
(**Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian 7Klik mahupun mana-mana pihak)


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments