[Nota Kedai Kopi Bandara]
SEHINGGA kini lapan buah lagu daripada album tradisi Biduanita Negara Datuk Sri Siti Nurhaliza unggul dicarta iTunes Malaysia dan berada di tangga pertama dan diiringi album terdahulu Lentera Timur, satu perkataan yang mudah diberikan adalah ia fenomena legenda terus kekal membara.
Untuk 2025 ini lima buah lagunya berada di tangga pertama. Menamakan Kamu Cinta, Sesal, Kumbang Bunga, Kesuma dan Rencong adalah bukti prestijnya jenama pop dan tradisi Siti Nurhaliza. Dia sentiasa mendahului yang lain dengan idea luar biasa dan mengikut trend.
Berkolaborasi dengan ramai anak muda dan komposer lama adalah resipi indah mencantikkan Gema Bumantara. Hakikatnya setiap generasi ada kegemarannya. Semua tidak terkecuali menikmati buah tangan album tradisi yang gah ini.
Lebih istimewa apabila Gema Bumantara masuk carta Itune Worldwide, ia sesuatu yang amat membanggakan kerana lagu tradisi kita berjaya memecah monopoli lagu negara asing.
Tidak hanya itu bagaikan berjangkit, kesemua album tradisi terdahulu turut mengekori fenomena Gema Bumantara. Daripada Cindai, Sanggar Mustika, Sahmura dan Lentera Timur, masing-masing berlumba berada dicarta terbaik.
Menarik bukan agenda album tradisi ini. Tidak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Terus relevan sehingga kini.
Apa lagu pilihan terbaik saya untuk Gema Bumantara? Apakah Rencong yang ada dialek Pahang favourite saya? Mungkin benar juga kerana lagu Kurik Kundi terdahulu hanya sedikit loghat Pahang diselitkan.
Namun melalui Rencong, saya agak berpuas hati walaupun Siti memilih 'Kas' berbanding 'Koi'. 'Kas' digunakan sebagai ganti nama saya untuk daerah Raub, Lipis, sementara 'Koi' dari Temerloh, Kuala Krau, Jerantut dan sekitarnya. Pun begitu tidak mengapa. 'Kas' atau 'Koi', tetap asalnya dari Pahang bukan?
Saya sebenarnya tertarik dengan Kesuma ciptaan Aisha Retno dan Radi. Kesuma membawa ciri tradisi bertaraf antarabangsa. Jika benar percaturan, muzik video terbaik, dan strategi marketing yang tepat, Kesuma boleh belasah lagu K-Pop, Latin, Bollywood dan lagu inggeris yang lain. Kesuma mampu mendonia.
Bukan Kesuma sahaja, Hujung Dunia, Kaca Permata, Kumbang Bunga, Cenderamaya dan Jenjang Cinta juga ada pontensi.
Sementara lagu Hati Yang Rindu, Pesanan Untuk Diri dan Syurgaloka adalah lagu malar segar yang memiliki pesona yang mendamaikan berbingkaikan suara gemersik buluh perindu Siti Nurhaliza.
Tahniah Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures kerana Dana Kebolehanpasaran (Domestik) 2.0 bagi memperkukuhkan usaha pemerkasaan karya seni tempatan. Sokongan ini mencerminkan keyakinan bahawa muzik berteraskan warisan budaya mampu bersaing di persada industri muzik yang dinamik.
Daripada 200 lagu yang dihantar, ada 40 lagi yang sedap dalam simpanan. Pasti Gema Bumantara seterusnya pasti akan menyusul pada masa mendatang. Hakikatnya irama tradisi kita tidak akan hilang bisanya dan tetap bermaharajela di bawah Siti Nurhaliza.
Album Gema Bumantara edisi fizikal dijangka dilancarkan pada Januari 2026 bersempena Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza.
Ayuh, kita stream Gema Bumantara. Jika anda berjiwa pertiwi, cintakan budaya dan tradisi, Gema Bumantara adalah wadah seni terbaik setakat ini untuk kita angkat ke tahap tertinggi. Tahniah Siti Nurhaliza dan barisan pendukung seni kreatif di album ini. - 7KLIK
✍️ Nota by Jebat Iskandar
(**Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian 7Klik mahupun mana-mana pihak)
ARTIKEL LAIN:
0 Comments