DISNEY+ kembali mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat apabila mengumumkan bahawa produksi untuk musim kedua siri popular Moving kini secara rasmi telah bermula.
Barisan pelakon utama termasuk Ryu Seungryong, Han Hyojoo, Zo Insung dan Go Younjung turut disahkan akan kembali meneruskan kisah masing-masing dalam kesinambungan drama adiwira Korea Selatan yang penuh emosi ini.
Siri yang diadaptasi daripada webtoon karya Kangfull ini pernah mencuri perhatian dunia dengan kisah sekumpulan ejen khas Korea Selatan yang memiliki kuasa luar biasa, namun memilih untuk berkorban demi melindungi keluarga masing-masing.
Bersambung selepas insiden Jeongwon High School, musim baharu ini akan mengikuti perjalanan watak-watak utama yang cuba kembali kepada kehidupan normal selepas peristiwa besar yang mengubah segalanya. Namun, ketenangan itu tidak bertahan lama apabila ancaman baharu serta lama mula muncul semula, sekali gus mengganggu kehidupan mereka dan orang yang mereka cuba lindungi.
Selain barisan pelakon utama, musim ini turut menampilkan Ryu Seungbum, Won Gyubin serta Kim Dohoon dan Shim Dalgi.
Dunia ‘Moving’ Terus Berkembang
Musim kedua ini juga menandakan kesinambungan dunia naratif yang dibina oleh Kangfull, yang sebelum ini diperkenalkan menerusi musim pertama Moving sebelum diperluaskan lagi melalui Light Shop. Lebih menarik, pembangunan dunia ini diteruskan dengan kerjasama kreatif antara Kangfull dan pengarah terkenal Kingdom, Kim Seonghun.
Kangfull menjelaskan matlamatnya sejak musim pertama adalah untuk menetapkan satu standard baharu dalam penceritaan adiwira Korea, dan musim kedua ini akan membawa pencapaian itu ke tahap lebih tinggi.
"Dengan musim pertama Moving, matlamat saya adalah untuk menetapkan satu penanda aras baharu bagi naratif adiwira Korea. Untuk musim kedua, saya mahu menaikkan lagi standard itu, dan mengembangkan siri ini menjadi sesuatu yang benar-benar luar biasa," ujarnya.
Menurut Naib Presiden Eksekutif Strategi Kandungan Asal APAC The Walt Disney Company, Carol Choi, Moving telah membuktikan kekuatan penceritaan Korea yang berteraskan emosi dan visual sinematik di peringkat global.
"Moving membuktikan bahawa penceritaan Korea premium, yang berteraskan emosi dan disampaikan dengan cita rasa sinematik, mampu memberi resonansi yang sangat kuat kepada penonton di seluruh dunia.
"Menjelang musim kedua, kami teruja untuk membina kejayaan itu bersama rakan kreatif kami dan memperluaskan lagi dunia Moving untuk peminat di seluruh dunia," katanya.
Musim pertama Moving yang mula ditayangkan pada Ogos 2023 sebelum ini mencatat kejayaan besar apabila menjadi siri Korea original paling banyak ditonton di Disney+ pada tahun tersebut.
Naskhah ini juga menerima pencalonan di 29th Critics’ Choice Awards serta meraih pelbagai anugerah di Busan International Film Festival’s Asia Content Awards & Global OTT Awards termasuk Best Creative, Best Visual Effects, Best Writer (Kangfull), Best Lead Actor (Ryu Seungryong), Best Newcomer Actor (Lee Jungha) dan Best Newcomer Actress (Go Younjung).
Tidak hanya itu, Moving turut memenangi Best Series serta Best Actress in a Series (Han Hyojoo) di 59th Daejong International Film Awards.
Produksi musim kedua Moving kini sedang berjalan, dan lebih banyak perkembangan dijangka diumumkan tidak lama lagi. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments