PERKEMBANGAN pesat media sosial telah mengubah landskap industri hiburan Malaysia secara signifikan, bukan sahaja dari segi pemasaran artis, malah turut memberi kesan terhadap pembentukan identiti dan kesejahteraan pelakon.
Satu kajian awal (pilot study) yang dijalankan oleh penyelidik tempatan juga merupakan seorang mahasiswa dalam pengajian kedoktoran komunikasi dan pengajian media, Zulqarnain Abu Hassan, 35, mendapati bahawa pelakon masa kini berdepan tekanan berterusan untuk mengekalkan kehadiran digital, sekali gus mewujudkan fenomena baharu yang boleh disifatkan sebagai 'beban menjadi orang lain' di luar set penggambaran.
Kajian tersebut menunjukkan bahawa selain memainkan watak dalam produksi, pelakon juga perlu membina dan mengurus persona digital bagi memenuhi jangkaan industri dan penonton. Kehadiran di media sosial kini dilihat sebagai faktor penting dalam meningkatkan keterlihatan dan kebolehpasaran seseorang pelakon.
Bagaimanapun, dapatan kajian mendapati metrik digital seperti jumlah pengikut hanya berfungsi sebagai ‘modal simbolik’ yang membantu menarik perhatian awal, namun tidak menjamin kelangsungan kerjaya tanpa kemahiran lakonan dan kredibiliti profesional yang kukuh.
Antara Keaslian Diri dan Tuntutan Persona Digital
Kajian itu turut menekankan dilema yang dihadapi pelakon dalam mengimbangi keaslian diri dengan persona yang dibentuk untuk memenuhi kehendak pasaran. Walaupun kadar interaksi tinggi di media sosial mencerminkan minat penonton, tahap kepercayaan terhadap seseorang pelakon masih bergantung kepada kejujuran dan konsistensi identiti yang ditampilkan.
Dalam konteks Malaysia, cabaran tersebut menjadi lebih kompleks apabila faktor budaya turut mempengaruhi persepsi masyarakat. Nilai seperti kesederhanaan, keikhlasan dan sifat rendah diri masih menjadi asas penerimaan terhadap selebriti tempatan, sekali gus menjadikan strategi penjenamaan yang terlalu berlebihan kurang sesuai dalam konteks industri hiburan negara.
Sehubungan itu, kajian berkenaan menyeru agar industri hiburan Malaysia menilai semula pendekatan dalam menentukan kebolehpasaran pelakon dengan mengambil kira keseimbangan antara keterlihatan digital, bakat dan kredibiliti profesional.
Pendekatan yang lebih holistik dilihat penting bagi memastikan industri tidak hanya mengangkat populariti jangka pendek, sebaliknya turut memberi ruang kepada pembangunan bakat yang berkualiti dan berdaya tahan.
Kesimpulannya, dalam era digital yang semakin kompetitif, pelakon bukan sahaja berdepan cabaran artistik, malah turut menanggung tekanan sosial untuk sentiasa relevan. Justeru, satu anjakan paradigma diperlukan agar industri hiburan dapat berkembang secara lebih mampan tanpa mengorbankan nilai seni dan kesejahteraan penggiatnya.
✍️ Zulqarnain Abu Hassan
(Penulis merupakan calon PhD di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta kini berkhidmat sebagai Penyelia Program Kewartawanan di Quest International University, Ipoh, Perak.)
ARTIKEL LAIN:
0 Comments