Romansa Dua Dunia Berbeza — Kisah Cinta Pelakon dan Pemandu E-Hailing dalam ‘Kata Hati’

Nadiah Hamzah bersama barisan teraju utama filem Kata Hati, Fazziq Muqris, Nia Atasha dan Yusof Hashim | FOTO: Ravin Awesome Pictures

Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN
DI sebalik genre romantik komedi yang sering dikenali dengan pendekatan cerita yang hampir serupa, hadir naskhah baharu yang cuba menawarkan sudut pandang berbeza tentang cinta.


Dalam dunia yang sering memisahkan glamor dan realiti, Kata Hati tampil dengan kisah cinta tidak konvensional yang mempertemukan seorang pelakon wanita popular dan seorang pemandu e-hailing dalam perjalanan emosi yang berbeza daripada kebiasaan filem romantik tempatan.

Naskhah terbitan Wayangworks dan Filmscape ini mengangkat naratif cinta berlatarkan kehidupan moden, disulam dengan konflik emosi serta realiti di sebalik dunia glamor seorang selebriti. Lebih daripada sekadar kisah romantik ringan, Kata Hati menyelami sisi kehidupan yang jarang dipaparkan di sebalik sorotan kamera.

Penerbit, Muhammad Bahir, berkata, idea tersebut tercetus daripada pemerhatian mendalam terhadap kehidupan sebenar selebriti tempatan.

“Idea menghasilkan Kata Hati muncul apabila sepanjang bekerja dalam industri ini, kami berpeluang bertemu ramai selebriti dan tertarik melihat perbezaan antara persona yang mereka tunjuk di depan kamera dengan kehidupan sebenar di sebalik lensa.

"Jadi kami mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah kisah di sebalik dunia glamor seorang selebriti itu dan disulami dengan sebuah jalan cerita yang mampu menghiburkan penonton,” ujarnya.

Romansa moden dengan sentuhan realiti

Kata Hati mempertaruhkan Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris sebagai teraju utama dan disokong oleh barisan pelakon seperti Scha Alyahya, Taqim Zaki serta Norreen Iman, selain kemunculan cameo beberapa selebriti terkenal.

Penerbit Eksekutif, Juliana Foo, menyifatkan filem ini hadir pada waktu tepat ketika penonton kembali mencari naskhah cinta ringan yang dekat dengan jiwa.

“Ternyata Kata Hati hadir sebagai sebuah filem ‘modern fairy tale’ dengan elemen ‘high-stakes romance’ serta memberikan momen yang indah dan tersendiri buat mereka yang menontonnya di pawagam,” jelasnya.


Sementara itu, pengarah Nadiah Hamzah berharap naskhah ini mampu meninggalkan kesan emosi mendalam kepada penonton melalui gabungan elemen cinta, humor dan realiti kehidupan.

“Sudah tentu saya mahu penonton datang beramai-ramai untuk meraikan sebuah kisah cinta manusiawi yang bukan biasa-biasa.

"Apa yang boleh saya katakan, ia bakal menyentuh emosi melalui tangisan dan gelak ketawa dan mengingatkan kita semua tentang kemanisan bercinta,” ujarnya.

Lebih daripada sekadar kisah cinta merentasi dua dunia berbeza, naskhah ini hadir sebagai cerminan hubungan manusia yang dibentuk oleh realiti, emosi dan pilihan hidup, menjadikannya antara naskhah yang dijangka meninggalkan kesan kepada penonton.

Kata Hati dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun 2026. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments