‘The Lion King’ Live in Concert Bawa Pengalaman Epik ke Malaysia Jun Ini


BERSEDIA untuk menghidupkan semula magis sebuah filem klasik dengan cara yang lebih epik. Buat pertama kalinya di Malaysia, The Lion King akan dipersembahkan dalam format filem-ke-konsert secara langsung menerusi Disney’s The Lion King Live in Concert.

Pengalaman ini menggabungkan tayangan penuh filem dengan iringan muzik orkestra secara live, menjadikannya lebih imersif dan terasa hidup di hadapan penonton.

Dibawakan oleh Milestone Production, persembahan ini menjanjikan sesuatu yang lebih daripada sekadar tontonan biasa.

Skor muzik ikonik ciptaan Hans Zimmer, yang pernah memenangi Anugerah Akademi, akan dimainkan secara langsung oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di bawah pimpinan Konduktor Residen, Eric Lee.

Persembahan ini bakal berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada Sabtu, 13 Jun 2026, dengan dua sesi iaitu pada jam 2.30 petang dan 8 malam.

Menggabungkan visual filem yang sudah dikenali ramai dengan alunan muzik orkestra secara langsung, konsert ini membawa penonton menyelami semula perjalanan epik Simba dalam suasana yang lebih hidup dan penuh emosi.

Dari generasi yang membesar dengan filem ini sehinggalah penonton baharu, pengalaman ini dicipta untuk menyatukan semua dalam satu nostalgia sama, kali ini dengan skala yang lebih besar dan dramatik.

Magis Muzik & Legasi Sebuah Karya Ikonik

Filem animasi The Lion King (1994) bukan sekadar sebuah karya hiburan, tetapi sebuah fenomena budaya yang meninggalkan impak mendalam melalui muziknya.

Kolaborasi hebat antara Elton John, Tim Rice dan Hans Zimmer menghasilkan lagu-lagu yang kekal relevan hingga ke hari ini. Tidak dilupakan juga sentuhan vokal dan koir Afrika oleh Lebo M, yang memberikan identiti unik kepada keseluruhan skor filem ini.

Di sebalik keindahan muziknya, The Lion King membawa penonton ke savana Afrika, mengisahkan perjalanan Simba, seekor anak singa yang ditakdirkan menjadi raja.

Dibesarkan dengan penuh inspirasi daripada ayahandanya, Mufasa, Simba pada awalnya bersedia memikul tanggungjawab sebagai pewaris takhta. Namun, pengkhianatan Scar mengubah segalanya, memaksa Simba meninggalkan tanah asalnya. Dari situlah bermula perjalanan untuk mencari jati dirinya.

Sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, penganjuran konsert ini turut memperlihatkan usaha berterusan dalam mengangkat Malaysia sebagai destinasi utama bagi acara hiburan bertaraf antarabangsa.

Dengan gabungan elemen sinematik dan muzik secara langsung, acara ini bukan sahaja meraikan legasi sebuah filem, tetapi juga membuka ruang kepada pengalaman seni yang lebih mendalam.

Tiket untuk Disney’s The Lion King Live in Concert telah mula dijual sejak 1 April lalu, dengan harga bermula daripada RM168 hingga RM638.

Bagi yang ingin merasai sendiri keajaiban ini, inilah peluang untuk menikmati sebuah karya klasik dalam bentuk yang benar-benar baharu yang lebih dekat, lebih hidup, dan pastinya lebih mengesankan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments