[REVIEW] Passenger: Road Trip Malam Bertukar Jadi Mimpi Ngeri


DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, genre seram semakin dipenuhi dengan filem yang cuba menggabungkan elemen psikologi, supernatural dan survival dalam satu naratif. Dengan perkembangan ini, semakin banyak karya cuba menawarkan pengalaman yang bukan sekadar menakutkan, tetapi juga membina suasana dan ketegangan secara berlapis.

Passenger hadir sebagai salah satu naskhah yang mengikuti trend tersebut, dengan premis yang sebenarnya cukup menarik, sebuah perjalanan malam yang bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dua individu mula diburu entiti misteri di lebuh raya terpencil.

Menerusi trailer yang berjaya mencetuskan rasa ingin tahu serta visual penuh gaya dan meyakinkan, filem ini sememangnya mencetuskan jangkaan tinggi dalam kalangan peminat genre seram.

Pada bahagian pertama Passenger, ia benar-benar berjaya memberikan pengalaman seram efektif, khususnya melalui pembinaan suasana dan ketegangan yang perlahan tetapi konsisten.

Kisahnya berpusat pada pasangan van-life lakonan Jacob Scipio dan Lou Llobell yang dalam satu perjalanan malam biasa, tanpa disangka, terperangkap dalam gangguan supernatural selepas menyaksikan satu kemalangan tragis di lebuh raya terpencil.

Apa yang bermula sebagai perjalanan biasa perlahan-lahan berubah menjadi mimpi ngeri apabila mereka diburu entiti misteri dikenali sebagai 'The Passenger'.

Salah satu kekuatan utama filem ini terletak pada pengarahan visualnya. Suasana sunyi lebuh raya pada waktu malam dimanfaatkan dengan baik untuk membina rasa tidak selesa dan tekanan secara berterusan. Beberapa babak awal seperti di stesen minyak, kawasan parkir gelap dan jalan sunyi berjaya mencipta ketegangan yang membuatkan penonton sentiasa rasa tidak selamat.

Dari segi sinematografi pula, Passenger tampil kemas dengan penggunaan pencahayaan suram dan tone warna yang membantu menghidupkan atmosfera seram filem ini. Reka bentuk bunyi juga memainkan peranan penting, terutama ketika filem cuba memanfaatkan 'jump scare' untuk memberikan impak maksimum kepada penonton.



Namun, kelemahan filem ini mula kelihatan apabila cerita semakin bergerak ke hadapan. Naskhah ini terlalu bergantung kepada 'jump scare' sehingga pembangunan cerita dan emosi watak terasa agak terabai.

Walaupun ada beberapa babak yang benar-benar menyeramkan, kesannya tidak bertahan lama kerana naratif filem tidak cukup kuat untuk menyokong elemen seram tersebut secara konsisten.

Watak utama juga kurang meninggalkan impak emosi yang mendalam. Hubungan antara Tyler dan Maddie tidak dibangunkan dengan cukup kuat untuk membuatkan penonton benar-benar peduli terhadap nasib mereka. Ada beberapa dialog dan reaksi watak yang terasa generik, malah sesetengah momen serius secara tidak sengaja menjadi sedikit canggung.

Selain itu, misteri tentang entiti 'Passenger' pada awalnya memang menarik dan menimbulkan rasa ingin tahu. Tetapi semakin banyak penjelasan diberikan, semakin hilang vibe seram yang dibina sejak awal filem. Filem ini seakan terlalu cepat menjelaskan sesuatu yang sebenarnya lebih berkesan jika terus dibiarkan misteri.

Kelemahan paling ketara ialah pada bahagian penutup. Selepas permulaan yang kuat dan meyakinkan, filem ini mula kehilangan momentum pada separuh masa kedua sebelum berakhir dengan penamat yang terasa tergesa-gesa dan kurang memberi kepuasan emosi kepada penonton.

Walaupun begitu, naskhah arahan André Øvredal ini masih mempunyai nilai hiburan tersendiri, terutama untuk penonton yang gemarkan filem seram ringan dengan banyak momen kejutan. Durasi filem yang tidak terlalu panjang juga membuatkan penceritaannya bergerak pantas tanpa terlalu banyak babak meleret.

Secara keseluruhannya, Passenger merupakan sebuah filem seram yang mempunyai idea menarik, visual yang cantik dan beberapa babak seram yang benar-benar menjadi. Namun, kelemahan dari segi skrip dan pembangunan cerita membuatkan potensinya terasa belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Walaupun belum cukup kuat untuk dianggap antara filem seram paling memorable tahun ini, Passenger masih mampu memberikan pengalaman tontonan yang menghiburkan, terutama untuk peminat genre seram ringan.

Bagi peminat 'hardcore' genre seram, filem ini mungkin terasa agak formulaik dan mudah dijangka. Namun untuk penonton kasual yang sekadar mahu menikmati pengalaman seram santai di pawagam, Passenger masih mampu memberikan hiburan, sekurang-kurangnya pada separuh pertama perjalanannya. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

PASSENGER
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: 16
Genre: Seram
Durasi: 1 jam 34 minit
Pengarah: André Øvredal
Pelakon: Melissa Leo, Lou Llobell, Jacob Scipio
Edaran: United International Pictures
Tarikh Tayangan: 21 Mei 2026
Bintang: 6/10
[KREDIT FOTO: United International Pictures]

THE MANDALORIAN AND GROGU
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: 12
Genre: Aksi/Pengembaraan
Durasi: 2 jam 12 minit
Pengarah: Jon Favreau

Pelakon: Pedro Pascal, Jeremy Allen White, Sigourney Weaver
Edaran: Walt Disney Pictures
Tarikh Tayangan: 21 Mei 2026

KONSPIRASI
Bahasa: Melayu
Klasifikasi: 13
Genre: Aksi/Thriller
Durasi: 2 jam 3 minit
Pengarah: Ghaz Abu Bakar
Pelakon: Adi Putra, Alicia Amin, Hisyam Hamid, Shiqin Kamal, Sarimah Ibrahim
Edaran: Primeworks Studios
Tarikh Tayangan: 21 Mei 2026

COUTURE
Bahasa: Perancis
Klasifikasi: 18
Genre: Drama
Durasi: 1 jam 46 minit
Pengarah: Alice Winocour
Pelakon: Angelina Jolie, Ella Rumpf, Louis Garrel, Garance Marillier
Edaran: GSC Exhibition
Tarikh Tayangan: 21 Mei 2026

Post a Comment

0 Comments