Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Konsert Kolaborasi Langka, Tulus & Kunto Aji Bakal Gempur Kuala Lumpur



Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN

JANJI akhirnya ditepati! Selepas mencetuskan fenomena di pelbagai kota Indonesia, Tur SAMA SAMA kini sah tiba di Malaysia. Idea Live Arena, Kuala Lumpur bakal menjadi saksi kolaborasi luar biasa lima pemuzik Nusantara pada 5 Disember ini.


Barisan line-up kali ini bukan calang-calang di mana ia terdiri daripada Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf yang akan berkongsi pentas dengan menjanjikan pengalaman muzik yang jarang sekali dapat disaksikan.

Saat menutup konsert di Bogor Mei lalu, Tulus sempat berjanji mereka akan membawa persembahan ini ke Malaysia, dan kini janji itu sudah menjadi nyata.

“Malaysia jadi destinasi pertama kami di luar Indonesia. Kami mahu bawakan persembahan paling istimewa,” kata Tulus.

Penganjur bersama ExpoIndo, Thrive dan Tiga Dua Satu turut berkongsi keterujaan membawa konsert istimewa ini ke Kuala Lumpur.

“Selepas sambutan hangat di Indonesia, kami mahu kongsikan magis Tur SAMA SAMA dengan peminat Malaysia,” ujar Bram Tulong dari ExpoIndo.

Konsert ini menjanjikan sesuatu yang lebih daripada sekadar persembahan muzik. Setiap artis akan tampil dalam format unik dengan bermula solo, duet, trio hingga kuintet lengkap dengan susunan lagu eksklusif yang dirangka khusus untuk malam itu.

“Format ini benar-benar dinamik. Kami saling bertukar lagu dan bereksperimen dengan aransemen baharu,” jelas Sal Priadi.

Dengan chemistry yang unik, kolaborasi lima bintang ini dijangka mencipta malam yang sarat emosi, penuh kejutan dan memori tak terlupakan.

Tiket pra-jualan sudah mula dibuka sejak 29 September lalu dengan harga bermula RM228. Peminat boleh mendapatkannya menerusi aplikasi BBO Events atau laman web rasmi samasamatur.com.

Lebih menarik, persembahan ini turut mendapat sokongan Tourism Malaysia, menjadikannya sebahagian daripada tarikan Cuti-Cuti Malaysia.

Sebelum ini, Tur SAMA SAMA sudah membuktikan kehebatannya di Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor di mana semuanya mendapat sambutan luar biasa. Kini tiba giliran Kuala Lumpur untuk menjadi saksi magis muzik Nusantara.

Pada 5 Disember nanti, bersedialah untuk malam penuh rasa, harmoni dan keindahan muzik yang sukar dilupakan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments