Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Konsert Legasi P. Ramlee Ditunda Ke Tahun Hadapan


TanahAir Films Sdn. Bhd. mengumumkan Konsert Legasi P. Ramlee yang dijadualkan berlangsug diMega Star Arena Kuala Lumpur, pada 20 September ini, ditangguhkan ke tahun 2026.

Namun, penangguhan ini hadir bersama berita lebih besar di mana acara yang asalnya dirancang sebagai persembahan satu malam kini bakal berubah wajah menjadi sebuah festival seni dan budaya berskala nasional.

Transformasi ini adalah sebahagian daripada inisiatif Projek Perdana P. Ramlee, dengan sokongan padu pelbagai kementerian, sektor korporat dan rakan penaja strategik yang melihatnya sebagai platform warisan negara berpotensi menyatukan seni, budaya dan industri kreatif di bawah satu pentas.

Festival yang bakal berlangsung pada tahun 2026 ini akan hadir dengan format baharu yang lebih meriah, inklusif dan berimpak tinggi. Ia bukan sekadar pentas hiburan, tetapi juga ruang untuk mengangkat seni, budaya dan suara kreatif generasi masa kini.

Pengarah Eksekutif TanahAir Films, Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata, konsert Legasi P. Ramlee bukan lagi sekadar persembahan satu malam, tetapi titik tolak untuk membina jenama budaya nasional yang mampan.

“Dengan barisan pemuzik orkestra, artis terkemuka, dan sokongan industri kreatif, kami mahu memperluaskan pengaruhnya sambil memberi ruang penglibatan kepada masyarakat dan rakan korporat,” ujarnya.

Dari Pentas Konsert ke Medan Festival

Pendekatan festival ini turut membuka peluang lebih strategik untuk jenama dan penaja terlibat dalam pelbagai bentuk aktivasi kreatif, penyertaan sosial, dan penyebaran mesej nasional yang bersifat menyeluruh.

Bagi Pengarah Kreatif Festival, Adlin Aman Ramlie, ia adalah peluang untuk menghidupkan kembali roh dan semangat P. Ramlee dalam pelbagai dimensi.

“Tan Sri P. Ramlee bukan sekadar seniman, beliau mewakili nilai, semangat zaman, suara bangsa, dan pemikir berani yang menyentuh isu, nilai dan rasa.

"Pendekatan baharu ini akan menjadikan legasi beliau lebih dekat dengan generasi masa kini,” jelasnya yang juga salah seorang peneraju Projek Perdana P. Ramlee.

Penangguhan acara ini ke tahun 2026 dilihat sebagai langkah berani untuk memastikan festival yang bakal berlangsung benar-benar meninggalkan impak besar.

TanahAir Films memohon maaf atas sebarang kesulitan, namun optimis sokongan peminat akan terus mengiringi perjalanan mereka dalam merealisasikan projek yang akan dikenang sepanjang zaman.

Bagi pembeli tiket sedia ada, pihak Ticket2U akan menghubungi anda dalam tempoh tiga minggu untuk menguruskan penukaran tarikh, pilihan naik taraf atau bayaran balik. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments