Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Wani Kayrie Perkenal ‘W2K’ - EP Sulung Penuh Jiwa & Gaya Baharu


Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN

Figura muda dunia seni suara, Wani Kayrie, melakar pencapaian baharu dalam kariernya menerusi pelancaran EP sulung berjudul W2K serta single terbaharu, Biarkan.

Acara 'Wani Kayrie Listening Party' yang berlangsung secara eksklusif di MyTOWNKL baru-baru ini turut meraikan kolaborasi istimewa bersama ASR Festival oleh Ascott, dalam suasana penuh meriah dan mesra peminat.

Diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment, EP W2K menjadi penanda evolusi penting dalam perjalanan muzik Wani yang tampil dengan identiti lebih matang, jujur dan segar.

Single Biarkan pula merupakan sebuah balada penuh emosi yang mencerminkan sisi kematangan dan kejujuran Wani dalam berkarya.

Menurut Wani, permintaan untuk album ini datang daripada para peminat, keluarga dan rakan-rakan terdekat yang sentiasa menyokong dan percaya pada bakatnya.

“Akhirnya, setelah sekian lama, saya dapat hadiahkan album mini ini kepada semua yang setia menanti,” ujar Wani penuh emosi ketika sidang media.

Mengenai pemilihan judul EP yang dinamakan W2K, penyanyi yang berusia 25 tahun itu berkata, ia diilhamkan daripada tahun kelahirannya iaitu 2000, sekali gus melambangkan aspirasi dan transformasinya sebagai anak seni generasi baharu.

“Saya lahir tahun 2000, jadi nama W2K itu simbolik kepada tahun kelahiran dan sisi baharu saya sebagai penyanyi,” jelasnya.

Menariknya, konsep W2K juga dipadankan dengan trend Y2K yang sedang hangat di kalangan anak muda, bukan sahaja dari segi muzik dan fesyen, malah dari aspek ekspresi diri secara menyeluruh.

Kepelbagaian Genre & Kolaborasi Dinamik

EP ini memuatkan lima buah lagu iaitu Cak Cak Cekuk, Serius Ah, Aiman Tino, Matahari dan Biarkan yang menampilkan kepelbagaian genre serta gaya unik.

Antara nama-nama besar yang terlibat dalam pembikinan EP ini termasuklah Iqie Hugh, Hanis Rafi, MFMF, Ezra Kong, Shane Kennedy dan ramai lagi, menjadikan W2K sebuah projek dinamik dan berjiwa muda.

“Saya suka lagu Cak Cak Cekuk sebab ia memberi semangat dan memartabatkan budaya,” kongsi Wani mengenai lagu yang dekat di hatinya.


Sementara itu, single baharu Biarkan yang bernuansa balada meruntun jiwa pula tampil tentang kisah cinta yang tidak kesampaian ini turut dilancarkan serentak.

“Lagu ini tentang melepaskan sesuatu yang tidak lagi baik untuk kita walaupun masih ada perasaan sayang itu. Kadang-kadang, ‘biarkan’ adalah cara yang terbaik untuk kita sembuh.

“Saya perlu rekod lagu ini pada hari berbeza, tapi saya harus kekalkan emosi yang sama. Memang mencabar, tapi berbaloi kerana saya puas hati dengan hasilnya,” ujarnya sambil mengakui proses rakaman lagu ini memberi cabaran tersendiri.

Melihat kembali permulaan kerjaya seniya kira-kira sedekad lalu menerusi lagu Jangan Jangan, Wani menganggap EP tersebut sebagai satu transisi penting yang menandakan evolusi dirinya sebagai penyanyi.

“Bagi saya, W2K adalah transisi yang sangat penting. Ia memperkenalkan konsep, gaya dan genre yang lebih segar untuk peminat sedia ada serta pendengar baharu,” katanya.

EP W2K dan single Biarkan boleh distrim di semua platform digital bermula 25 Julai 2025. Ikuti perkembangan terkini Wani Kayrie dan Rocketfuel Entertainment di media sosial rasmi mereka. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments