DALAM industri muzik yang penuh dengan kolaborasi terancang dan strategi label, agak jarang kita lihat dua bintang besar dari benua berbeza bergabung secara spontan, hanya kerana mereka 'terserempak' secara maya.
Bagaimanapun itulah yang berlaku kepada Bradley Simpson, tidak lama selepas melancarkan album solo debutnya The Panic Years yang berjaya masuk carta Top 10 UK.
Daripada satu 'Insta Story' ke satu mesej DM, Bradley akhirnya berhubung dengan Hongjoong, ahli kumpulan K-Pop terkenal ATEEZ dan hasilnya, satu versi baharu untuk lagu Almost yang kini menampilkan sentuhan unik dari Hongjoong sendiri.
Dalam versi kolaborasi ini, Hongjoong memberi nafas segar dengan lirik baharu dalam bahasa Korea pada verse kedua, dan turut menyumbang backing harmonies yang membalut vokal Bradley dengan gaya tersendiri.
Secara keseluruhan, vibe lagu ini masih mengekalkan emosi asal, tetapi dengan dimensi tambahan yang lebih berani dan global.
Menurut Bradley, kolaborasi Bersama Hongjoong adalah tidak dijangka, dan semuanya bermula dengan satu hantaran di 'Instastory'.
“Semua berlaku sangat natural. Hongjoong kongsi lagu Almost dalam InstaStory dia, selepas itu kami mula berbual. Dua minggu kemudian, dia terus hantar verse versi dia.
"Gaya muzik kami memang berbeza, tapi itulah yang buat kolaborasi ni menarik. Saya memang suka bekerjasama macam ini, sama macam masa saya rework ‘Favourite Band’ dengan Nieve Ella,” jelasnya.
Berbeza Gaya, Tapi Satu Vibe
Bagi Hongjoong pula, kolaborasi ini adalah satu kejutan yang menyenangkan. Dia sudah lama mengagumi muzik Bradley dan langsung tidak menyangka artis UK itu akan menghubunginya secara peribadi selepas lagu tersebut dimuat naik ke 'Instastory'.
“Saya dah lama kagumi muzik Bradley, jadi bila dia hubungi saya lepas saya kongsi lagu tu, memang saya terkejut tapi dengan cara yang sangat menggembirakan.
“Saya suka cabaran dan bunyi baharu dan paling seronok bila dapat bekerjasama dengan orang yang ada passion dan tenaga yang sama walaupun datang dari latar belakang berbeza,” katanya.
Kini, dia bakal menjelajah festival di UK pula, bermula di Together Again, kemudian Boardmasters pada 10 Ogos dan Victorious pada 24 Ogos.
Setakat ini, jelajah The Panic Years telah membawa Bradley ke pentas-pentas sold out di UK, Eropah, Amerika Utara dan Australia yang membuktikan magnetism solo yang dimilikinya selepas era The Vamps.
Sementara itu, ATEEZ pula semakin mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kuasa besar global dalam dunia K-Pop. Bermula dengan kejayaan domestik sejak debut pada 2018, kumpulan yang dianggotai lapan anak muda itu mencipta sejarah apabila menjadi kumpulan K-Pop pertama yang berjaya memperoleh tiga album Top 10 dalam carta rasmi UK dalam satu tahun.
Pada awal 2025, ATEEZ membuktikan lagi kekuatan mereka dengan konsert dua malam berturut-turut sold out di O2 Arena London. Di Amerika Syarikat, nama ATEEZ lebih gah lagi apabila sudah dua kali meraih #1 di Billboard Top 200 dan konsisten menjual tiket stadium dan arena penuh.
Dengan impak serantau dan antarabangsa sebegini, kolaborasi antara Hongjoong dan Bradley Simpson ini mungkin permulaan kepada lebih banyak kejutan lintas benua dalam dunia muzik pop masa kini. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments