Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Cikgu Stefanus Lucas menang Geran RISE Educator Award


SEORANG guru dari SK Pendidikan Khas (P) Kota Kinabalu, Sabah, Stefanus Lucas  diumumkan sebagai penerima utama RISE Educator Award 2025, anjuran Taylor's College bersama inisiatif pelajarnya, The Risers.

Sebagai seorang guru berdedikasi yang percaya pada kuasa muzik dalam pendidikan, Stefanus menerima RM5,000 wang tunai sebagai penghargaan atas inisiatif cemerlangnya.

Sekolah yang diwakili turut menerima RM50,000 geran pembangunan, bagi merealisasikan projek yang diilhamkan sendiri, satu usaha yang menyentuh hati dan memberi ruang ekspresi kepada murid berkeperluan khas.

Bagi Stefanus, muzik bukan sekadar seni, tapi satu bentuk komunikasi yang mendalam, terutamanya buat murid yang berdepan cabaran seperti masalah penglihatan dan pendengaran.

Dengan sumber yang terhad, guru ini berjaya menubuhkan bilik muzik khas dan kumpulan muzik murid lelaki sebagai medium untuk mereka menzahirkan emosi dan membina keyakinan diri.

“Anugerah ini bukan sekadar penghargaan. Ia peringatan bahawa pendidikan inklusif itu mungkin, dan setiap murid berhak untuk didengari dan diraikan.

“Bagi sesetengah orang, muzik hanyalah hiburan. Tapi bagi murid saya, muzik ialah nyawa. Cara mereka berhubung, meluahkan perasaan, dan percaya pada diri sendiri,” kata Cikgu Stefanus penuh makna.
Cikgu Stefanus Lucas dinobat sebagai penerima anugerah RISE Educator Award 2025 dan menerima RM5,000 atas usaha memperkasa murid berkeperluan khas melalui muzik, manakal pihak sekolah menerima geran RM50,000.

Stefanus kini merancang untuk membina ruang muzik khusus bagi murid kurang upaya pendengaran, serta menubuhkan kumpulan muzik pelajar Sabah pertama yang menggabungkan alat muzik tradisional dan moden.

Sokongan padu buat guru cemerlang

Majlis penyampaian anugerah ini berlangsung sempena RISE Educator Conference 2025, bertemakan 'Pengajaran Berimpak Tinggi, Pembelajaran Bermakna'.

Timbalan Pengarah di KPM, Fadzliaton Zainudin, Fadzliaton Zainudin,  memuji usaha Taylor’s College kerana terus menghargai guru dan mencetus kolaborasi pendidikan.

"RISE Educator Award membuktikan bahawa perubahan bermula dengan tindakan kecil yang konsisten dan ikhlas. Usaha seperti ini mengangkat martabat pendidik di mata masyarakat," katanya.

Selain Cikgu Stefanus, empat finalis lain turut menerima RM1,000 seorang, dan sekolah mereka masing-masing diberi geran RM10,000 untuk penambahbaikan pembelajaran.

Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan, menyatakan rasa bangga terhadap dedikasi para guru yang sanggup berusaha walaupun tanpa sokongan penuh.

“Mereka tak tunggu keadaan sempurna. Mereka cipta peluang dengan apa yang ada. Yang menggerakkan mereka bukan hanya inovasi, tapi tujuan yang jelas, demi murid,” katanya.

Acara ini turut menampilkan sesi Fireside Chat bersama Shawn Stanly Anthony Dass, penerima anugerah tahun lalu yang berkongsi cabaran mengajar di sekolah pedalaman serta kejayaannya membina Hab Pembelajaran diketuai murid, yang kini berkembang melalui platform Malaysian Learning Spaces (MYLES).


Turut berlangsung, sesi panel dinamik bertajuk 'Memperkasa Pembelajaran Bermatlamat untuk Semua', yang menghimpunkan tokoh pendidikan seperti Chan Soon Seng (Teach For Malaysia), Hema Letchamanan (Projek BacaBaca) dan Cikgu Nazmi Rosli, penerima RISE Educator of the Year 2021.

Sambutan luar biasa dari masyarakat

Anugerah RISE tahun ini menerima lebih 1,000 pencalonan dan 65,000 undian awam. Satu angka yang menunjukkan penghargaan masyarakat terhadap guru yang membawa perubahan.

Penerima anugerah dipilih melalui sistem penjurian menyeluruh oleh panel profesional, merangkumi 75 peratus daripada markah akhir, berdasarkan impak, inovasi dan kelestarian projek.

Sejak diperkenalkan, RISE Educator Award telah meraikan 18 orang pendidik, dengan lebih RM200,000 disalurkan dalam bentuk geran dan sokongan pendidikan.

Kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Teach For Malaysia dan Persatuan Alumni Perdana Fellows menjadikan penganjuran tahun ini lebih mantap, telus dan inklusif.

Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi Taylor’s College dan ikuti perkembangan lanjut RISE Educator Award. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments