Hot Posts

6/recent/ticker-posts

RTM sukses masuk 30 teratas dalam Carta Penstriman Digital Global Triton Mac 2025


RADIO Televisyen Malaysia (RTM) telah mencapai kejayaan yang cemerlang apabila buat julung kalinya disenaraikan dalam Triton Digital’s Global Streaming Rankers untuk Mac 2025.

Pengiktirafan ini merupakan detik bersejarah bagi Malaysia dan meletakkan RTM dalam kalangan penyiar audio digital terkemuka dunia, di samping rangkaian terkenal antaranya dari Amerika Syarikat, Eropah, dan Amerika Latin.

The Global Streaming Rankers, diterbitkan setiap bulan oleh Triton Digital, dianggap sebagai penanda aras global untuk kecemerlangan dalam kandungan audio digital dan prestasi penstriman.

Kemasukan dalam senarai ini bukan sahaja mencerminkan penglibatan pendengar yang tinggi dan penyampaian kandungan yang konsisten, tetapi juga keupayaan penyiar untuk menyesuaikan diri dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini.

Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman, berkata, pencapaian itu bukan sekadar kemenangan untuk RTM sebaliknya ia sesuatu yang membanggakan bagi Malaysia dan rantau ASEAN.

"Kami berbesar hati diiktiraf di platform global yang berprestij ini. Ia bukti transformasi digital strategik yang telah kami lakukan melalui RTMKlik dan platform lain," katanya.

Tarik perhatian dunia

Data terkini mendedahkan bahawa RTM berada di kedudukan ke-30 di seluruh dunia dengan Purata Sesi Aktif (AAS) sebanyak 9,630. Ini menunjukkan bahawa, secara purata, 9,630 sesi mendengar unik yang aktif pada strim digital RTM pada bila-bila masa sepanjang Mac 2025.

Perkembangan meletakkan RTM setanding dengan penyiar antarabangsa terkemuka lain dari segi penglibatan penonton dalam talian. RTMKlik menyediakan 36 stesen radio untuk pendengar secara keseluruhannya termasuk dua radio streaming.

AAS ialah metrik utama dalam landskap audio digital, mewakili purata bilangan sesi yang aktif pada bila-bila masa tertentu dalam tempoh yang dilaporkan. Ia dikira dengan membahagikan Jumlah Waktu Mendengar (TLH) dengan jumlah jam dalam tempoh pelaporan.

Bagi RTM pada Mac 2025, Jumlah Waktu Mendengar (TLH) mencecah 9,855,025, dan jumlah Permulaan Sesi (SS), mewakili bilangan sesi dengan tempoh minimum satu minit, berjumlah 9,855,025. Purata Masa Mendengar (ATSL) RTM bagi setiap sesi ialah 0.54 jam.

Menurut Pengarah Eksekutif IPSB Technology, Mardhiah Nasir, Kehadiran RTM dalam Global Rankers meletakkan Malaysia pada peta global penyiaran digital.

"Ia juga menunjukkan bagaimana penyiar ASEAN boleh memimpin dengan kualiti, konsisten dan inovasi dalam penstriman audio," ujarnya.

Pencapaian ini adalah bukti hubungan dan kepimpinan RTM yang berterusan dalam ruang penyiaran digital, dan petanda kepada situasi yang akan datang untuk landskap media Asia Tenggara. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments