Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Tiada lagi pakaian mencolok mata di Festival Filem Cannes 2025


Oleh: SORAYA AFNAN

PENAMPILAN selebriti di karpet merah sememangnya antara momen paling dinantikan dalam mana-mana acara anugerah, khususnya untuk menyaksikan fesyen yang bakal digayakan.

Justeru karpet merah menjadi platform untuk barisan selebriti memperagakan gaya ikonik mereka. Daripada rekaan yang elegan dan sofistikated hinggalah ke pilihan busana yang mencetuskan perbualan ramai, termasuk pakaian mencolok mata dan berpotensi mencabar norma.

Namun sesuatu yang luar biasa berlaku di acara Festival Filem Cannes 2025 yang berlangsung pada 13 hinggga 24 Mei, apabila pihak penganjur memperkenalkan peraturan baharu buat pertama kalinya dalam sejarah festival, pakaian pakaian mencolok mata dan busana meleret secara rasmi dilarang di karpet merah.

Pengumuman mengejut yang dibuat beberapa jam sebelum acara karpet merah bermula pada hari pertama itu membuatkan ramai tetamu terpaksa menukar pakaian mereka pada saat-saat akhir.

Antara yang terkesan ialah pemenang Oscar, Halle Berry, yang akur dengan peraturan tersebut dan menukar pakaiannya sebelum menghadiri majlis.

Berry berkata, walaupun pengumumam itu dibuat pada saat akhir, dia tetap memilih untuk menghormati permintaan penganjur.

"Saya mempunyai pakaian yang menakjubkan daripada rekaan Gupta untuk malam ini tetapi saya tidak boleh memakainya ia terlalu besar dan meleret.

"Sudah tentu saya akan mengikut peraturan. Jadi saya terpaksa membuat perubahan pada saat akhir walaupun pakaian asal saya tidak mendedahkan. Saya fikir mungkin ini peraturan yang baik," katanya kepada media.

Tindakan penganjur itu ternyata mengejutkan ramai, apatah lagi ini kali pertama kod etika dikeluarkan secara rasmi dan bertulis menjelang acara utama.

Reputasi  

Sebelum ini penganjur pernah terpalit kontroversi apabila didakwa memaksa tetamu wanita memakai kasut tinggi di karpet merah.

Namun tahun ini festival paling berprestij dunia itu tampil lebih inklusif dengan menjelaskan bahawa kasut atau sandal elegan sama ada bertumit atau tidak dibenarkan.

Sepanjang festival berlangsung, para tetamu juga diminta menghormati kod pakaian rasmi yang ditetapkan iaitu elegan, sopan, dan berkelas, selari dengan tradisi dan reputasi acara yang menjadi tumpuan industri filem global saban tahun. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments