Suria FM Bawa Kisah Rakyat Ke Pentas Menerusi 'Panggung Suria'


DALAM dunia hiburan yang semakin dipenuhi pelbagai bentuk kandungan digital, persembahan secara langsung masih mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.

Lebih-lebih lagi apabila ia menggabungkan elemen komedi, muzik dan kisah-kisah yang dekat dengan kehidupan seharian sehingga mampu membuat penonton ketawa, berfikir dan menghayati setiap penceritaan yang dipersembahkan.

Atas semangat itu, Suria FM tampil memperkenalkan Panggung Suria, sebuah persembahan sketsa komedi pentas secara langsung yang membawa tema 'Komedi Rakyat, Dari Rakyat Untuk Rakyat'.

Mengangkat cerita dan isu yang dekat dengan masyarakat Malaysia, Panggung Suria mengetengahkan pelbagai situasi harian yang sering dilalui rakyat dalam gaya penyampaian yang santai, spontan dan menghiburkan.

Setiap sketsa bukan sahaja diselitkan dengan unsur jenaka, malah turut diperkaya dengan elemen muzikal serta mesej yang relevan, sekali gus menawarkan pengalaman hiburan yang lebih segar dan bermakna kepada penonton.

Penyampai Suria FM Beraksi Di Pentas

Apa yang menjadikan persembahan ini lebih istimewa ialah penglibatan barisan penyampai Suria FM yang buat pertama kalinya bergabung dalam sebuah produksi sketsa secara langsung.

Edisi sulung Panggung Suria diterajui oleh Ajak, Fad dan Chiwan, yang sememangnya dikenali dengan keserasian serta spontaniti mereka dalam mencetuskan gelak tawa. Mereka turut disertai penyampai Suria FM lain iaitu Elly, Cik Piah, Kai Hassan, Irsyad dan DJ Lin yang bakal menghidupkan pelbagai watak menerusi sketsa-sketsa yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.

Gabungan personaliti radio yang sudah sinonim dengan pendengar ini dijangka memberi warna berbeza kepada persembahan apabila mereka bukan sahaja menghiburkan menerusi celoteh di konti, malah beraksi secara langsung di pentas dalam suasana yang lebih interaktif bersama penonton.

Orang ramai dijemput menyaksikan edisi pertama Panggung Suria yang akan berlangsung pada 25 Jun 2026 (Khamis), jam 9 malam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Menariknya, kemasukan adalah percuma, dan orang ramai hanya perlu mengimbas kod QR yang dipaparkan pada poster rasmi di platform media sosial Suria Malaysia bagi mendapatkan akses ke persembahan tersebut.

Lebih daripada sekadar sebuah persembahan komedi, Panggung Suria membawa penceritaan yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat dalam suasana santai dan menghiburkan. Inisiatif ini sekali gus membuktikan komedi mampu menjadi medium yang menyatukan penonton sambil mengeratkan hubungan antara Suria FM dan para pendengarnya. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments