ERA Buka Tirai 2026 Dengan Barisan Penyampai Baharu


ERA, stesen radio nombor satu Malaysia, membuka lembaran baharu tahun 2026 dengan memperkenalkan barisan penyampai yang lebih segar dan dinamik.

Langkah ini bukan sekadar pertukaran wajah, tetapi strategi untuk memastikan stesen itu kekal relevan dan dekat dengan golongan muda serta remaja, generasi yang sentiasa mencari pengalaman mendengar yang menyeronokkan dan bermakna.

Perubahan paling ketara dapat dilihat pada slot Petang ERA, di mana format tiga penyampai kembali diperkenalkan selepas sekian lama hanya menampilkan dua orang. Slot ini kini menampilkan gabungan Haziq, Munabella, dan Der, menambah dinamik baharu dan aura keseronokan bagi pendengar setia.

Bagi slot Malam Chill ERA pula, gandingan lama Ashhrapp dan Syasha kembali bersama, mengekalkan konsep dua penyampai bagi segmen malam yang unik dan popular. Segmen lain turut mengalami pembaharuan yang terancang.

Der dan Ashhrapp memulakan tugas rasmi mereka bermula 12 Januari, menandakan permulaan baharu yang penuh semangat untuk ERA dan pendengar setia.

Segmen 3 Pagi ERA terus dikendalikan oleh trio popular Nabil, Pak Azad, dan Radin, manakala ERAthon masih diterajui oleh Fazziq Muqris. Sementara itu, peminat muzik akan terus menikmati Gempak Hit ERA yang kekal bersama Isha Norsham.

Pada hujung minggu, ERA menawarkan variasi melalui penyampai sambilan dan finalis Penyampai Baharu ERA (PBE). Kecuali Aqil, yang mengendalikan segmen Malam Minggu ERA setiap Sabtu dari jam 8 malam hingga 11 malam, memberikan sentuhan istimewa untuk pendengar hujung minggu.

Menurut Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin, langkah ini adalah sebahagian daripada strategi ERA untuk membina pengalaman mendengar yang lebih segar, menyeronokkan dan berinovasi.

“Masa depan ERA adalah tentang inovasi dan keterhubungan. Kami bukan sekadar mahu menghiburkan, tetapi juga membina komuniti melalui teknologi digital, media sosial dan kandungan kreatif,” katanya.

Tambahnya lagi, ERA akan terus melahirkan bakat baharu, memperkukuh interaksi dengan peminat, dan memastikan stesen itu kekal menjadi pilihan utama generasi muda.

Sebagai sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio, ERA mengekalkan kedudukannya sebagai stesen radio berbahasa Melayu yang menampilkan lagu-lagu popular dan hits terkini, menjadikannya stesen radio nombor satu di Malaysia.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments