Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN
STESEN radio popular, Sinar memperkenalkan segmen terbaharu dinamakan RSVP SINAR yang bakal diserikan oleh penyampai baharu penuh pesona, Sarah Kamilla.
Segmen RSVP SINAR akan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 1 tengah hari hingga 4 petang, bermula 3 Jun 2025, dengan janji untuk membawa kelainan yang unik kepada pendengar.
Menariknya, Sarah pada awalnya memohon jawatan sebagai penerbit. Namun, setelah meneliti latar belakangnya sebagai bekas penyampai radio dan melihat potensi besarnya, pihak Sinar terpikat dan menjemputnya hadir ke sesi temu duga untuk posisi penyampai radio.
Kini, Sarah sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi, yang menjadikan pendekatannya dalam penyampaian lebih menyeluruh dan penuh pemahaman.
Menurut Pengurus Jenama Sinar, Zureen Affendi, Sarah membawa kekuatan baharu yang feminin, tenang dan bijak membaca perwatakan tetamu serta pendengar.
RSVP SINAR dibahagikan kepada tiga segmen utama iaitu Ya Atau Tidak, Piring Hitam Sinar, dan Sinar Foodie, yang mampu memenuhi pelbagai cita rasa pendengar.
Segmen Ya Atau Tidak mengajak pendengar berkongsi pendapat secara interaktif mengenai topik-topik semasa yang menarik, malah ada kalanya kontroversi.
Sementara itu, Piring Hitam Sinar menampilkan himpunan lagu-lagu pilihan pendengar, memberikan ruang santai untuk menemani waktu kerja mahupun masa berehat.
Diikuti Sinar Foodie yang menonjolkan sisi kreatif Sarah apabila dia berkongsi tip masakan, resepi menarik serta lokasi makanan popular untuk dicuba.
Dengan suara menenangkan serta penyampaian yang semula jadi, Sarah diyakini mampu memikat hati pendengar lama mahupun baharu di radio tersebut.
Pihak Sinar optimis Sarah mampu memberikan dimensi segar kepada barisan penyampai wanita mereka, melengkapi gaya unik Dina dan Sharifah Shahirah.
Jangan lepaskan peluang untuk mendengar RSVP SINAR setiap hari bekerja, jam 1 tengah hari hingga 4 petang, hanya di Sinar. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments