| Tiga wanita inspirasi bagi kempen With OVA, Siti Nordiana, Shila Amzah, dan Diana Danielle |
KESEDARAN terhadap kesihatan wanita dan isu berat badan semakin menjadi perhatian, khususnya dalam kalangan masyarakat hari ini yang lebih terbuka membincangkan topik berkaitan kesejahteraan fizikal dan mental.
Seiring dengan perkembangan itu, tiga selebriti terkenal iaitu Siti Nordiana, Diana Danielle dan Shila Amzah kini tampil bekerjasama dengan OVA, platform kesihatan digital yang menyediakan akses kepada penjagaan kesihatan wanita melalui konsultasi dalam talian, pelan rawatan peribadi serta sokongan doktor berlesen di seluruh Asia Tenggara, menerusi kempen With OVA.
Kempen ini menekankan bahawa isu berat badan bukan sekadar penampilan atau disiplin diri, tetapi turut melibatkan faktor kesihatan yang lebih kompleks. Ia juga membuka akses kepada rawatan moden yang lebih mudah serta menggalakkan wanita mendapatkan sokongan perubatan secara lebih konsisten.
Inisiatif ini bertujuan mengangkat isu yang jarang dibincangkan secara terbuka walaupun memberi kesan besar terhadap kesihatan fizikal dan mental wanita.
Realiti Kesihatan Wanita di Malaysia
Kempen With OVA disokong data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi yang menunjukkan 54.4 peratus (%) wanita berada dalam kategori berlebihan berat badan dan obes.
Keadaan ini turut dikaitkan dengan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi dan penyakit kardiovaskular yang menyumbang lebih 70 peratus kes NCD. Lebih membimbangkan, 57% individu obes didapati tidak tepat menilai keadaan kesihatan mereka sendiri, sekali gus melambatkan rawatan.
Menurut Naib Presiden Pemasaran OVA, Tom Reynolds, obesiti sering disalah faham sebagai isu penampilan, sedangkan ia berkait rapat dengan kesihatan menyeluruh. Ramai wanita juga berdepan kekangan akses dan masa untuk mendapatkan rawatan sesuai.
OVA memperkenalkan pendekatan rawatan lebih mudah melalui konsultasi dalam talian, pelan rawatan peribadi dan sokongan berterusan yang fleksibel mengikut gaya hidup moden.
Dalam satu sesi perkongsian, barisan selebriti ini meluahkan tentang realiti mengimbangi kesihatan, keluarga, kerjaya, serta tekanan yang dihadapi oleh wanita dalam pelbagai peringkat usia.
Melalui pengalaman sendiri, mereka menekankan bagaimana berat badan dipengaruhi oleh faktor yang jauh lebih besar daripada sekadar kehendak diri, dan mengapa perbualan mengenai obesiti di Malaysia perlu beralih daripada aspek penampilan kepada aspek kesihatan.
Berkongsi pandangannya, Siti Nordiana melihat kehidupan wanita sentiasa berubah mengikut fasa hidup yang berbeza, terutama apabila melibatkan tanggungjawab sebagai ibu, kerjaya serta cabaran harian yang perlu diharungi secara seimbang.
“Kehidupan mengubah kita semua. Kehidupan sebagai ibu, kerjaya, tekanan, dan pelbagai peranan yang kita galas sebagai wanita semuanya meninggalkan kesan.
"Saya berharap kempen ini dapat membantu lebih ramai wanita menyedari bahawa berat badan adalah lebih daripada sekadar kehendak diri, dan memberikan mereka keyakinan untuk menjaga kesihatan mereka mengikut acuan sendiri,” ujarnya yang merupakan ibu tunggal kepada seoarang anak yang sedang meningkat remaja.
Sementara itu, Diana Danielle pula berkongsi pengalaman berdepan perhatian umum termasuk perubahan tubuh yang sering menjadi perbualan. Katanya, perubahan berat badan adalah sebahagian daripada pengalaman hidup yang tidak selalu mudah.
“Membesar dalam perhatian masyarakat bermakna setiap fasa kehidupan saya dilihat umum. Selama bertahun-tahun, berat badan saya berubah-ubah dan sering menjadi topik perbualan.
"Saya juga melalui fasa sukar untuk menguruskan berat badan dan tertanya-tanya mengapa ia terasa begitu mencabar,” luahnya.
Tambah bintang filem Imaginur itu lagi, perubahan tubuh akhirnya mengajarnya untuk lebih memahami diri sendiri.
“Lama-kelamaan saya faham bahawa tidak semua perkara ada jawapan mudah. Kehidupan dan tubuh kita sentiasa berubah, begitu juga keperluan kita.
“Melalui kempen With OVA ini, saya berharap lebih ramai wanita menyedari bahawa perubahan berat badan adalah sebahagian daripada lumrah hidup dan mereka tidak bersendirian dalam apa yang mereka lalui,” jelasnya.
Ibu kepada dua anak itu juga berharap agar lebih ramai wanita diberi kekuatan untuk mengambil kawalan terhadap kesihatan masing-masing demi membina kehidupan yang lebih sihat.
Bagi Shila Amzah pula, pengalaman sebagai ibu banyak mengubah perspektifnya tentang kesihatan, termasuk cara melihat perubahan tubuh dan keperluan untuk lebih memahami faktor yang mempengaruhi kesejahteraan diri seorang wanita.
“Kesihatan sentiasa menjadi keutamaan saya, tetapi menjadi seorang ibu telah mengubah segala-galanya. Ia membuatkan saya berfikir secara berbeza tentang masa depan saya dan kepentingan untuk sentiasa kekal sihat demi anak-anak saya.
“Saya sedar banyak faktor mempengaruhi tubuh, bukan hanya pemakanan atau usaha semata-mata. Hormon, biologi dan tuntutan hidup semuanya memainkan peranan,” tegasnya.
OVA menegaskan komitmen untuk memperluaskan akses penjagaan kesihatan melalui platform digital termasuk konsultasi doktor berlesen dan pelan rawatan peribadi. Pendekatan ini diharap membantu lebih ramai wanita mendapatkan rawatan tanpa stigma, sekali gus membina kehidupan lebih seimbang dan sihat. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments