| Hong Kong dari perspektif berbeza, satu kayuhan, pelbagai pengalaman | FOTO: Hong Kong Tourism Board |
BAGAIMANA jika percutian ke Hong Kong tidak hanya dipenuhi panorama bandar, sesi membeli-belah dan eksplorasi kulinari, tetapi turut memberi peluang untuk menikmati kota ini dari atas dua roda?
Buat rakyat Malaysia yang gemarkan percutian aktif, Sun Hung Kai Properties Hong Kong Cyclothon menawarkan satu lagi cara untuk mengenali Hong Kong melalui perjalanan merentasi jambatan, terowong, kawasan bandar dan landskap ikonik yang mungkin jarang dilihat dari perspektif biasa.
Acara berbasikal tahunan terbesar di Hong Kong itu kembali pada 11 Oktober 2026, dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB), sekali gus membuka peluang kepada peminat berbasikal mahupun pengayuh santai untuk menggabungkan pengalaman bersukan dengan percutian.
Pendaftaran pula dibuka pada 20 Ogos 2026, jam 10 pagi, membolehkan pengunjung merancang lebih awal untuk menyertai acara yang bukan sahaja membawa mereka merentasi laluan unik, malah mendekatkan mereka dengan kepelbagaian budaya, pemandangan dan tarikan luar Hong Kong.
Bermula di West Kowloon Cultural District, Hong Kong Cyclothon tahun ini menampilkan dua kategori kayuhan santai tanpa pertandingan yang direka untuk peserta dengan tahap keupayaan berbeza.
Peserta boleh memilih Kayuhan 56km yang menampilkan laluan baharu, atau Kayuhan 32km bagi mereka yang mahukan jarak lebih singkat tanpa mengetepikan pengalaman menikmati panorama bandar.
Apa yang menjadikan kedua-dua laluan ini menarik ialah perspektif yang ditawarkan. Sepanjang kayuhan, peserta berpeluang melintasi beberapa mercu tanda ikonik Hong Kong sambil menikmati pemandangan Victoria Harbour, latar langit bandar yang memukau serta kawasan kejiranan yang memperlihatkan sisi berbeza destinasi ini.
Lebih daripada 6,000 peserta dari seluruh dunia dijangka mengambil bahagian, menjadikan acara ini bukan sekadar aktiviti sukan, tetapi turut menjadi ruang pertemuan buat komuniti berbasikal antarabangsa.
Keseronokan juga tidak berakhir sebaik sahaja kayuhan selesai. Bertempat di West Kowloon Cultural District, Cyclothon Carnival akan berlangsung sepanjang hari dengan pelbagai aktiviti untuk peserta, pengunjung dan keluarga.
Daripada aktiviti sukan dan hiburan kepada pengalaman mesra keluarga serta pilihan makanan, karnival ini melengkapkan suasana sambutan sambil memberi peluang kepada pengunjung menikmati sisi Hong Kong yang lebih santai dan meriah.
Nikmati Hong Kong di Luar Laluan Biasa
Lebih menarik, perjalanan ke Hong Kong pada musim luruh boleh menjadi alasan untuk melanjutkan pengalaman di luar acara berbasikal.
Dengan suhu yang lebih nyaman dan cuaca yang sesuai untuk aktiviti luar, musim ini antara waktu yang ideal untuk melihat sisi semula jadi Hong Kong.
| Dari hiruk-pikuk kota hingga ke pesisir pantai dan kehijauan alam, nikmati sisi berbeza Hong Kong melalui pengalaman berbasikal yang penuh panorama | FOTO: Hong Kong Tourism Board |
Tidak sampai sejam dari pusat bandar, pengunjung boleh menemui pelbagai pengalaman luar yang memperlihatkan bagaimana kehidupan metropolitan Hong Kong wujud seiring dengan alam semula jadi.
Bagi pencinta aktiviti outdoor, antara pilihan yang boleh diterokai termasuk laluan pendakian popular seperti Dragon’s Back, The Victoria Peak Walk dan MacLehose Trail.
Pengunjung juga boleh menikmati keindahan kawasan pesisiran pantai di Hong Kong UNESCO Global Geopark, atau mencuba pengalaman aktiviti air di GO PARK Sai Sha (Aqua).
Daripada panorama pencakar langit hingga laluan hijau, gunung dan persisiran pantai, pengalaman ini memperlihatkan satu lagi wajah Hong Kong yang mungkin tidak terlintas dalam percutian konvensional.
Ia juga mencerminkan semangat ‘Only in Hong Kong’, sebuah destinasi yang membolehkan pengunjung beralih daripada kesibukan kota kepada alam semula jadi dalam perjalanan yang begitu singkat.
Jadi, jika percutian seterusnya ingin diisi dengan lebih banyak pengalaman aktif, Hong Kong Cyclothon boleh menjadi titik permulaan untuk melihat Hong Kong dari sudut yang berbeza, lebih dekat, lebih segar dan pastinya di luar laluan biasa.
Untuk meneroka lebih banyak aktiviti luar di Hong Kong dan merancang pengembaraan seterusnya, layari Discover Hong Kong - Outdoors. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments