Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN | Foto: MONOLABS STUDIO
SELEPAS dua dekad berkarya dalam industri fesyen, pereka terkenal Hatta Dolmat mengakui perjalanan tersebut turut mengubah perspektifnya dalam mencari keseimbangan antara kebebasan berkreativiti dengan tuntutan menghasilkan rekaan yang mampu dimiliki pengguna.
Jika suatu ketika dahulu pentas peragaan memberikan ruang luas kepada pereka untuk bereksperimentasi dengan fantasi dan kreativiti, perkembangan industri membuatkan Hatta sedar bahawa sesebuah koleksi tidak seharusnya hanya mencipta impak pada malam pertunjukan.
“Walaupun kita mahu memberikan impak kepada audiens, pasukan saya selalu ‘brainwash’ saya, ia bukan sekadar tentang memberikan impak pada malam itu. Orang juga mahu memiliki koleksi kita.
“Memang susah juga untuk saya kerana saya lebih sukakan kreativiti. Namun hari ini, alhamdulillah dengan sokongan KLFW (Kuala Lumpur Fashion Week) dan Isetan, jenama Hatta Dolmat RTW dapat dimiliki oleh semua orang,” ujarnya.
Hatta berkata demikian pada sidang media khas yang berlangsung dalam suasana eksklusif di Sky Café by Maja, Tingkat 83, Menara Berkembar Petronas 2, bersempena pertunjukan penutup Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 serta meraikan 20 tahun perjalanannya dalam industri fesyen.
Berlatarbelakangkan panorama Kuala Lumpur, lokasi tersebut melengkapi pengalaman istimewa sambutan dua dekad perjalanan kreatif Hatta. Tidak sekadar menoleh kembali kepada arkib lama, sebaliknya diterjemahkan menerusi dua karya baharu yang mencerminkan evolusinya sebagai seorang pereka.
Penglibatan pereka fesyen berusia 44 tahun itu bersama KLFW kini memasuki tahun ke-11 dan peluang untuk menutup edisi kali ini hadir dengan makna tersendiri, setelah sebelum ini lebih banyak berkongsi slot pertunjukan dengan pereka lain.
“Saya pun tak tahu akan dapat closing. Sepanjang 20 tahun dalam industri, ini merupakan tahun ke-11 saya bersama KLFW. Terima kasih kepada Andrew dan KLFW kerana memberikan peluang yang begitu besar untuk saya menutup KLFW kerana sebelum ini kebanyakannya saya berkongsi slot.
“Saya percaya apabila kita menghasilkan sesuatu dengan ikhlas dan dari hati, koleksi itu sendiri akan menjadi talking point. Dengan bantuan media, cerita di sebalik koleksi itu juga dapat disampaikan. Saya rasa mungkin itu antara sebab saya diberikan peluang untuk menutup KLFW,” katanya.
Linger & Soul: Dua Sisi Perjalanan Kreatif
Meraikan dua dekad tersebut, Hatta tampil mempersembahkan Linger dan Soul, dua koleksi yang membawa naratif berbeza tetapi saling melengkapi.
Linger, yang merupakan koleksi Resort 2026, mengangkat kisah mengenai memori, keluarga serta perjalanan kembali kepada makna 'rumah'. Inspirasinya tercetus daripada kegemaran Hatta mengejar dan merakam matahari terbenam ketika mengembara ke pelbagai destinasi termasuk Malibu, Phuket dan Sabah.
Namun apabila melihat semula rakaman tersebut, anak kelahiran Melaka itu menyedari bahawa perkara paling kekal dalam ingatannya bukanlah matahari terbenam itu sendiri, tetapi individu yang berada di sisinya, perbualan, kesunyian serta kasih sayang yang dikongsi ketika itu.
Pengalaman tersebut diterjemahkan menerusi karya tekstil asli, permainan pigmen berlapis, tekstur lukisan dan transisi ombré yang menjadikan setiap helaian seakan-akan membawa sebuah memori.
Elemen kekeluargaan pula hadir melalui simbol pokok kaktus yang dibiakkan oleh ibu Hatta sebelum diberikan kepadanya sebagai hadiah hari lahir. Kaktus yang masih tumbuh di studionya itu menjadi simbol ketahanan, kasih sayang tanpa syarat dan makna sebuah rumah.
Jika Linger berbicara mengenai apa yang kekal dalam ingatan, Soul pula kembali kepada titik awal setiap penciptaan Hatta, imaginasi. Koleksi couture ini menampilkan 10 rekaan, termasuk ombré tailoring, perincian bulu biru dan emas buatan tangan, oversized gown ultra ringan, rekaan hitam bertatah permata, gaun lukisan tangan serta botanical dress berinspirasikan bunga orkid.
Dua koleksi tersebut membawa naratif berbeza tetapi saling melengkapi di mana Linger mempersoalkan apa yang kekal selepas sebuah perjalanan, manakala Soul meneroka dari mana bermulanya kreativiti. Gabungan kedua-duanya menjadi gambaran paling peribadi tentang seorang Hatta Dolmat hari ini.
Sambutan 20 tahun itu akhirnya bukan sekadar retrospektif, tetapi refleksi tentang keberanian, kreativiti dan craftsmanship yang membentuk House of Hatta Dolmat sehingga memasuki dekad ketiganya.
Di antara memori dan imaginasi, Hatta terus berkarya. Bukan sekadar untuk mencuri perhatian di runway, tetapi untuk menghasilkan rekaan yang mampu menemukan tempatnya dalam kehidupan mereka yang memakainya. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments