Cipta Kejutan Manis, Anggrek-Adira Suhaimi Juara TTMM2


PESERTA termuda, Anggrek, 9, bersama pengurus yang juga ibunya, penyanyi Adira Suhaimi dinobatkan sebagai juara program Talk To My Manager (TTMM) musim kedua yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

Pemilik nama penuh Anggrek Adnan Abu itu, tampil penuh karisma di pentas akhir dengan persembahan mantap menerusi lagu Aku Stacy, nyanyian asal Stacy untuk segmen solo, serta Sutera yang disampaikan secara duet bersama Aisha Retno.

Kemenangan tersebut melayakkan pasangan anak beranak itu membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi.

“Saya dah menang, Alhamdulillah,” ujar Anggrek yang teruja diumumkan sebagai juara program berkonsep hiburan keluarga dan pertandingan bakat itu..

Malam kemuncak itu turut menyaksikan Hussain dan Jamilulhayat merangkul gelaran naib juara yang menerima RM15,000 dan trofi. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Cik B dan Datuk Seri Vida, sekali gus membawa pulang hadiah RM10,000 berserta trofi.

Ketiga-tiga pemenang turut menerima peruntukan pengurusan dan pemasaran tajaan Rocketfuel Entertainment, peluang merakamkan single serta beberapa hadiah sampingan lain.

Sementara itu, Azeva bersama Datuk A. Aida serta Kim Khairi dan Safura masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima menerima hadiah wang tunai RM5,000 serta trofi.

Anugerah Manager Paling Perform pula menjadi milik Jamilulhayat dan Hussain, manakala Adira dan Anggrek menerima Anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie yang turut disertakan hadiah wang tunai RM10,000.

Kesemua peserta The Grand Finale TTMM2 yang mengangkat tema 'Malam Ini Kita Punya' itu diadili barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk AC Mizal, Che Puan Sarimah selaku juri tetap, manakala Datuk Syafinaz Selamat dan Hael Husaini hadir sebagai juri jemputan.

Selain enam finalis tersebut, TTMM2 turut disertai pasangan Althea-Nana Mahazan, Fariedz Fazly-Datuk Fadzley, Ratu-Linda Jasmine, Viviana-Ani Mayuni dan Amarra-Azad Jazmin yang tersingkir lebih awal.

TMMM2 yang dihoskan oleh Datuk Aznil Nawawi itu disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) serta boleh distrim di Astro Go pada setiap Ahad, jam 9 malam bermula 19 April lalu. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments