LANGKAH Hong Kong membina reputasi sebagai destinasi mesra Muslim tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia berkembang secara berperingkat, bermula daripada pengiktirafan antarabangsa, sebelum diterjemahkan kepada infrastruktur lebih lengkap serta pendekatan komunikasi yang lebih dekat dengan pelancong dan komuniti.
Pada 2025, Hong Kong mencatat lebih 49.9 juta ketibaan pelawat, meningkat 12 peratus (%) berbanding tahun sebelumnya, sementara Malaysia kekal sebagai pasaran utama Asia Tenggara dengan pertumbuhan 6%. Momentum ini menjadi latar kepada usaha bandar tersebut dalam membangunkan ekosistem pelancongan inklusif.
Pengiktirafan di Halal in Travel Awards memperlihatkan hasil usaha ini, termasuk Destinasi Mesra Muslim Paling Berpotensi dan Destinasi Pelancongan Mesra Muslim Aksesibel (Bukan OIC). Beberapa jenama tempatan juga diiktiraf, antaranya Ngong Ping 360 Limited, Kowloon Shangri-La, The Mira Hong Kong dan Hong Kong Convention and Exhibition Centre.
Kini terdapat 195 restoran diperakui halal, milik Muslim atau mesra Muslim, merangkumi masakan tempatan hingga restoran bertaraf Michelin. Dalam sektor penginapan pula, 59 hotel bertaraf Crescent Rated menyediakan kemudahan sejadah, penunjuk arah kiblat, hidangan halal atas permintaan dan ruang solat khusus bagi tetamu.
Usaha memperkukuh kemudahan ini berjalan selari dengan pendekatan komunikasi kreatif oleh Lembaga Pelancongan Hong Kong (Hong Kong Tourism Board), memastikan pengalaman mesra Muslim menjadi sebahagian daripada perjalanan itu sendiri.
Muzik Video Lagu Raya Ernie Zakri dan Syamel
Antara inisiatif yang mencuri perhatian ialah penerbitan muzik video (MV) lagu Raya penyanyi terkenal, Ernie Zakri dan Syamel bersama anak mereka, Nur Khawla Soleha yang menjalani penggambaran sepenuhnya di Hong Kong.
Pendekatan ini bukan sekadar strategi promosi, sebaliknya satu bentuk penceritaan yang menghubungkan pengalaman perjalanan dengan naratif kekeluargaan dan perayaan.
MV lagu Suasana Raya dirakamkan di beberapa lokasi ikonik termasuk Temple Street, Avenue of Stars, Ocean Park Hong Kong dan Ngong Ping 360.
Visual bandar moden Hong Kong digabungkan dengan suasana kekeluargaan yang intim, sambil memaparkan pengalaman sebenar seperti kemudahan mendapatkan makanan halal dan akses kepada ruang solat yang selesa.
Kombinasi elemen ini menjadikan pengalaman mesra Muslim bukan sekadar maklumat tambahan, tetapi sebahagian daripada perjalanan itu sendiri.
Ernie Zakri, 34, menyifatkan pemilihan Hong Kong sebagai lokasi penggambaran sebagai pengalaman yang bermakna, apatah lagi apabila disertai suami dan anaknya.
"Ini kali pertama kami menjalani penggambaran di Hong Kong, dan kehadiran suami serta anak kami menjadikannya lebih bermakna. Saya teruja kerana perjalanan di sana sangat lancar.
"Mencari makanan halal mudah, dan kemudahan untuk menunaikan solat dengan selesa membuatkan kami berasa tenang walaupun jauh dari rumah,” ujarnya.
"Sebagai seorang suami dan bapa, keutamaan saya adalah keselesaan keluarga, terutama dari segi makanan dan kemudahan solat. Saya kagum dengan akses kepada makanan halal daripada dim sum autentik hingga hidangan tempatan di mana kami tidak rasa terlepas apa-apa pengalaman kulinari.
"Projek ini bukan sekadar kerja, tetapi kenangan yang bermakna. Kami berharap peminat dapat melihat bahawa Hong Kong ialah destinasi yang sesuai untuk keluarga Muslim, termasuk ketika musim perayaan,” tegasnya.
Dari Pengalaman ke Strategi
Sementara itu, Pengarah Serantau Asia Tenggara, Lembaga Pelancongan Hong Kong, Liew Chian Jia, berkata, pelancong Muslim hari ini lebih celik digital dan menghargai pengalaman yang bermakna serta jaminan kemudahan.
Justeru, komitmen terhadap pelancongan mesra Muslim dilihat sebagai usaha jangka panjang yang menekankan keterangkuman, bukan sekadar peluasan pilihan, tetapi juga cara penyampaian yang relevan dan mudah diakses.
Semua inisiatif ini digerakkan di bawah kempen Jelajah Hong Kong, memberi tumpuan kepada pasaran Malaysia dan Asia Tenggara.
Panduan Perjalanan Muslim turut disediakan, merangkumi restoran halal dan mesra Muslim, hotel bertaraf Crescent Rated, kemudahan solat serta tarikan utama di seluruh bandar, membantu pelancong membuat keputusan dengan lebih yakin.
Daripada pengiktirafan antarabangsa kepada pengukuhan infrastruktur dan penceritaan kreatif, Hong Kong memperlihatkan pendekatan matang dalam membina keyakinan pelancong Muslim.
Usaha ini bukan sahaja memperluas pilihan, tetapi membentuk pengalaman perjalanan yang lebih menyeluruh dan diyakini, khususnya bagi pasaran Asia Tenggara yang terus menunjukkan pertumbuhan positif. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments