BARISAN kandungan Mac 2026 di Disney+ memperlihatkan gabungan hiburan yang menyeluruh, daripada animasi keluarga yang dinanti peminat, siri komedi dan drama bersiri yang kembali dengan musim baharu, hinggalah siaran langsung anugerah perfileman paling berprestij dunia. Bukan sekadar hiburan, bulan ini juga menampilkan episod finale beberapa siri popular serta drama perubatan dan kecemasan yang terus mencuri perhatian.
Antara judul paling dinanti sudah tentu
Zootopia 2 yang boleh mula distrim pada 11 Mac. Sekuel kepada filem animasi hit ini kembali menyatukan Judy Hopps dan Nick Wilde dalam sebuah misteri baharu yang lebih mencabar.
Kehadiran watak Gary De’Snake mengubah landskap kota Zootopia sehingga memaksa kedua-duanya menyiasat kes yang berliku dan penuh teka-teki. Untuk membongkar kebenaran, mereka perlu menyamar dan menyusup ke kawasan bandar yang tidak pernah diterokai sebelum ini, sekali gus menguji kepercayaan dan keserasian yang semakin berkembang antara mereka.
Filem ini menampilkan suara daripada Ginnifer Goodwin, Jason Bateman, Ke Huy Quan, Quinta Brunson dan Shakira.
Bagi peminat animasi dewasa berunsur satira,
Solar Opposites kembali dengan musim keenam juga pada 11 Mac. Siri ini mengisahkan sebuah keluarga makhluk asing yang terpaksa melarikan diri selepas planet asal mereka musnah, sebelum mendarat secara tidak sengaja di kawasan pinggir bandar Amerika Syarikat.
Dalam usaha menyesuaikan diri dengan norma manusia, mereka berdepan pelbagai situasi ganjil yang mencetuskan humor sinis dan kritikan sosial. Musim terbaharu ini sekali lagi menampilkan Justin Roiland, Thomas Middleditch dan Sean Giambrone sebagai teraju utama.
Kemuncak bulan ini turut diserikan dengan siaran langsung
Academy Awards (Oscars) yang berlangsung pada 16 Mac. Majlis anugerah berprestij yang memasuki edisi ke-98 ini diadakan di Dolby Theatre di Ovation Hollywood dan dihoskan oleh Conan O'Brien.
Acara ini meraikan pencapaian filem-filem yang diterbitkan sepanjang tahun 2025, dan selain siaran langsung, tontonan ulang (replay) turut disediakan bagi mereka yang tidak mahu terlepas momen penting di pentas Oscar.
Dalam dunia adiwira pula,
Daredevil: Born Again kembali dengan musim kedua bermula 25 Mac. Siri ini menyaksikan Wilson Fisk, kini bergelar Datuk Bandar, memperkukuh cengkamannya ke atas New York City sambil memburu vigilante Hell’s Kitchen yang dikenali sebagai Daredevil.
Di sebalik topeng bertanduk itu, Matt Murdock berusaha bangkit daripada bayang-bayang untuk menumbangkan empayar rasuah Kingpin dan menebus kembali kotanya.
Musim ini dibintangi oleh Charlie Cox, Vincent D’Onofrio, Deborah Ann Woll, Ayelet Zurer, Wilson Bethel, Margarita Levieva, Krysten Ritter dan Matthew Lillard.
Mac juga menjadi saksi penamat beberapa siri menerusi episod finale yang sarat emosi.
Battle of Fates musim pertama melabuhkan tirainya pada 4 Mac (Episod 10), diikuti
The Beauty musim pertama pada 5 Mac (Episod 11).
Medalist musim kedua menutup perjalanan musimnya pada 22 Mac (Episod 9), manakala
Paradise musim kedua berakhir pada 30 Mac (Episod 8).
Setiap finale menjanjikan penyelesaian konflik yang telah dibina sejak awal musim, sekali gus menjadi detik penting buat peminat setia.
Bagi penggemar drama bersiri yang berlatarkan dunia perubatan dan kecemasan, jadual Mac turut padat dengan episod baharu.
Grey's Anatomy musim ke-22 menayangkan Episod 12 pada 6 Mac, terus menyelami dinamika profesional dan peribadi barisan doktornya.
Sementara itu,
9-1-1 musim kesembilan kembali dengan Episod 14 pada 13 Mac, memaparkan misi menyelamat yang penuh tekanan.
High Potential musim kedua (Episod 14) hadir pada 11 Mac, dan siri komedi perubatan
Scrubs versi 2026 pula meneruskan musim pertamanya dengan Episod 5 pada 19 Mac.
Segmen
In the Spotlight pula menghimpunkan judul istimewa yang tidak wajar dilepaskan.
Ghost Elephants boleh mula distrim pada 8 Mac, diikuti
Rental Family pada 18 Mac. Peminat animasi kanak-kanak boleh menonton penutup
Bluey Minisodes musim pertama (Episod 24) pada 16 Mac, manakala
Is This Thing On? menyusul pada 20 Mac.
Secara keseluruhan, barisan kandungan Mac 2026 di Disney+ menawarkan gabungan misteri, aksi adiwira, komedi satira, drama bersiri dan acara anugerah berprestij dalam satu platform.
Sama ada untuk tontonan keluarga, sesi binge hujung minggu atau mengikuti acara langsung dunia perfileman, bulan ini memberikan pilihan yang cukup menyeluruh untuk setiap citarasa.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments