DALAM perjalanan seni yang semakin matang, Adira Suhaimi kembali mewarnai landskap muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharu berjudul Sayang Orang Sama.
Sinonim dengan julukan 'Ratu OST', Adira tidak lagi sekadar menyampaikan lagu tentang cinta semata-mata, sebaliknya membawa naratif yang lebih jujur dan reflektif tentang keikhlasan, penerimaan serta keberanian berdepan realiti perasaan sendiri.
Karya ini lahir daripada kolaborasi komposer Mas Dewangga dan Jova Devito, dua nama yang kerap mewarnai pentas Anugerah Juara Lagu, dengan lirik yang digarap bersama Datuk Arisz Abdul Rahman JP.
Gabungan ini menghasilkan sebuah balada kontemporari yang sederhana susunannya, namun padat dengan emosi. Melodinya tidak berlebihan, sebaliknya memberi ruang kepada kekuatan vokal penyanyi berusia 35 tahun itu untuk menafsir rasa secara halus dan berlapik.
Menurut Adira, Sayang Orang Sama bukan sekadar kisah cinta yang teruji, sebaliknya sebuah refleksi tentang keikhlasan dan keberanian untuk menerima hakikat bahawa tidak semua yang disayangi dapat dimiliki sepenuhnya.
“Lagu ini sangat dekat dengan jiwa saya. Ia bukan mengenai siapa yang betul atau salah, tetapi tentang perasaan apabila kita menyayangi seseorang dan akhirnya sedar bahawa kasih itu tidak sepenuhnya milik kita,” ujarnya.
“Semasa merakamkan lagu ini, saya banyak berfikir soal penerimaan dan reda. Tidak semua cinta perlu dimiliki sepenuhnya, dan tidak semua perasaan perlu berakhir dengan penyesalan. Ada masanya kita belajar untuk melepaskan dengan tenang,” jelasnya.
Menerima Hakikat
Kekuatan Sayang Orang Sama terletak pada kejujuran liriknya yang menyentuh realiti kehidupan khususnya buat mereka yang memilih untuk berdiam diri dan memendam rasa demi menjaga hati orang lain.
Tambah Adira, lagu ini tidak bersifat dramatik, sebaliknya membiarkan emosi berkembang secara perlahan, mencerminkan konflik dalaman yang sering tersembunyi di sebalik ketenangan luaran.
“Kadang-kadang, kita terlalu sayang tetapi dalam masa yang sama kita perlu berkongsi perasaan itu. Lagu ini adalah suara kepada mereka yang kuat di luar, tetapi rapuh di dalam. Ia tentang menerima hakikat tanpa membenci,” kata anak jati Sabah itu lagi.
Mengulas tentang harapannya untuk single ini, Adira mahukan penerimaan pendengar bersifat sederhana, namun bermakna. Baginya, sebuah lagu yang mampu menemani seseorang melalui detik sukar sudah memadai sebagai pencapaian paling bernilai.
“Jika lagu ini mampu membuatkan seseorang rasa difahami dan tidak keseorangan, itu sudah cukup bermakna buat saya.
"Saya harap Sayang Orang Sama boleh menjadi ruang untuk pendengar bernafas, merenung dan akhirnya berdamai dengan perasaan sendiri,” ujar ibu kepada empat anak itu menutup bicara.
Single terbaharu ini merupakan karya terbitan Nova Music Malaysia, sekali gus mengukuhkan hubungan profesional Adira bersama label yang sebelum ini menerbitkan beberapa lagu popular nyanyiannya.
Kerjasama berterusan ini memperlihatkan keserasian dari segi arah muzik dan identiti artistik, yang menekankan kejujuran emosi serta kekuatan vokal sebagai teras utama.
Sebagaimana kebanyakan lagu Adira yang sering menjadi runut bunyi drama, Sayang Orang Sama mengorak langkah serupa apabila turut terpilih sebagai lagu tema untuk drama bersiri 30 episod berjudul Khianat Yang Terpilih yang bersiaran di slot Akasia, TV3 bermula 26 Februari.
Pemilihan ini sekali lagi membuktikan reputasinya sebagai penyanyi yang sinonim dengan karya beremosi tinggi dan dekat dengan jiwa penonton.
Sayang Orang Sama kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama, manakala muzik video rasmi lagu ini mula ditayangkan di saluran YouTube Nova Music Videos pada 2 Mac, jam 3 petang. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments