Evolusi Bintang Muda Jepun, Rol3ert Pertaruh Visi Sendiri Dalam ‘Savior’

Perjalanan Rol3ert kini memasuki fasa yang lebih berani dan berpotensi besar di pentas Asia serta global

BINTANG muda Jepun, Rol3ert, semakin mencuri perhatian dalam radar muzik Asia selepas kejayaan single terdahulu, (How Could I Be) Honest?.

Kini, penyanyi dan penulis lagu berusia 20 tahun ini kembali dengan single digital terbaharu berjudul Savior. Lagu ini merupakan karya ketiga dalam siri pelancaran tiga bulan berturut-turut dan sekaligus menjadi rilisan pertamanya bagi tahun 2026.

Dilancarkan pada Disember 2025, (How Could I Be) Honest? mencatat peningkatan populariti yang pantas di seluruh rantau ini. Lagu tersebut berjaya menembusi carta viral di Jepun, Taiwan dan Hong Kong, selain menerima putaran kerap di stesen radio 987FM di Singapura. Malah, ia turut menduduki tangga kelima carta Shazam Singapura.

Di Spotify, lagu berkenaan melepasi 500,000 penstriman dalam tempoh sebulan pertama, menjadikannya karya dengan pertumbuhan paling pantas sepanjang kerjayanya setakat ini.

Lebih menarik, kandungan yang dihasilkan pengguna menggunakan lagu tersebut terus tersebar secara organik di pelbagai platform digital, memperluas pengaruhnya dalam kalangan pendengar muda di Asia.

Salah satu baris lirik yang paling memberi kesan, “Help me/i wish i could be bleeding/so you could see the pain", menyentuh emosi generasi yang sama merentasi sempadan bahasa. Kejujuran dan kerapuhan yang dipaparkan dalam lirik ini menjadi antara faktor utama memperkukuh momentum lagu berkenaan.

Pengiktirafan industri turut mengiringi kebangkitan penyanyi berbakat besar ini. Pada Oktober 2025, Rol3ert dinobatkan sebagai Best Breakthrough Artist di Tokyo Alter Music Awards, sebelum dipilih sebagai sebahagian daripada program Spotify Japan RADAR: Early Noise 2026.

Sokongan kukuh daripada pelbagai platform penstriman digital di Jepun, Asia Tenggara dan Amerika Utara memperlihatkan bagaimana muziknya semakin diterima oleh audiens global, khususnya pendengar berbahasa Inggeris.

Fasa Baharu dan Evolusi Artistik

Dalam konteks inilah Savior hadir sebagai titik perubahan yang jelas dalam perjalanan seninya. Lagu ini diterbitkan sepenuhnya sendiri oleh Rol3ert, mencerminkan visi peribadi yang lebih matang serta perkembangan dalam penulisan lagu dan ekspresi vokalnya.

Dari segi bunyi, karya ini menggabungkan melodi berkilauan berinspirasikan era 80-an dengan tekstur urban rock moden dan alternatif pop, sekali gus menawarkan gambaran tentang hala tuju gelombang pop generasi baharu.

Mendalami liriknya, Savior menandakan peralihan ketara. Selepas setahun menghasilkan lagu-lagu introspektif yang berfokus pada konflik dalaman, Rol3ert kini membuka naratifnya ke dunia sekeliling, menumpukan perhatian kepada sosok lain dalam ceritanya. Naratif dalam lagu ini berpusat pada sosok 'Someone', seorang gadis, memperlihatkan sisi penceritaan yang lebih terbuka dan berorientasikan hubungan.

Seiring dengan perkembangan rakaman studionya, bintang sedang meningat naik ini juga melangkah ke fasa baharu sebagai artis persembahan pentas.

Pada 15 Mac 2026, Rol3ert dijadualkan tampil di MUZ’POP JAM 2026 yang berlangsung di YES24 LIVEHALL, Seoul, Korea Selatan, menandakan persembahan sulungnya di luar Jepun.

Kemunculan ini mencerminkan jangkauan antarabangsa muziknya yang semakin meluas, dengan tahun 2026 dijangka menyaksikan lebih banyak persembahan pentasnya di dalam dan luar negara.

Sebelum itu, Rol3ert bakal mengadakan konsert solo, Rol3ert Live ‘Katachi’, pada 27 Februari 2026 di Shibuya WWW X, Tokyo.

Dengan momentum serantau yang semakin kukuh dan arah seni yang semakin jelas, perjalanan Rol3ert kini memasuki fasa yang lebih berani dan berpotensi besar di pentas Asia serta global. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments