BAYANGKAN seorang pakar bedah plastik muda yang hidupnya tersusun rapi, tiba-tiba dihantar jauh dari kesibukan kota ke sebuah pulau terpencil. Bukan untuk bercuti, tetapi untuk menjalani khidmat ketenteraan. Di situlah bermulanya kisah
Doctor on the Edge, drama romantik Korea baharu yang akan menemui penonton di Disney+ bermula 1 Jun.
Do Jiui lakonan Lee Jaewook bukan doktor biasa. Selama bertahun-tahun, dia mengorbankan hampir seluruh hidupnya demi menjadi pakar bedah plastik terbaik dari salah satu universiti paling berprestij di Korea. Namun di sebalik kejayaan itu, Jiui sebenarnya seorang yang menutup rapat emosinya di mana hidupnya hanya berpusat pada satu matlamat iaitu kerjaya.
Semua itu mula goyah apabila dia diarahkan bertugas selama setahun di Pulau Pyeondongdo, sebuah lokasi terpencil yang jauh daripada keselesaan dunia perubatan bandar. Sebaik sahaja melangkah ke atas feri, Jiui sudah mula merasakan sesuatu yang tidak kena. Apa yang sepatutnya menjadi tugasan rutin, perlahan-lahan berubah menjadi pengalaman yang penuh tekanan, kekacauan dan kejadian di luar jangkaan.
Sebelum berangkat, dia sudah diberi amaran oleh rakan-rakannya agar tidak terlibat dengan masalah dan paling penting, jangan jatuh cinta jika dia mahu kembali ke laluan kerjaya asalnya. Namun di pulau itu, semua amaran itu seakan mustahil untuk dipatuhi. Di tengah kekalutan emosi dan tekanan adaptasi, muncul Yuk Hari (Shin Yeeun), seorang jururawat yang baru sahaja berpindah ke pulau tersebut dari bandar besar.
Kehadirannya membawa satu dimensi baharu dalam hidup Jiui, bukan sahaja sebagai bantuan di tempat kerja, tetapi juga sebagai seseorang yang mungkin menjadi titik keseimbangan dalam hidupnya yang semakin bergelora. Namun, kehadiran Hari juga datang bersama misteri yang belum terungkai.
Drama ini menggabungkan elemen romantik dan perubatan dengan latar yang unik, sebuah komuniti kecil di pulau terpencil yang menyimpan pelbagai cerita manusia yang tidak terduga.
Selain Lee Jaewook dan Shin Yeeun, siri 12 episod ini membawa penonton menyelami perjalanan emosi dua individu yang dipertemukan oleh keadaan, tetapi mungkin diikat oleh sesuatu yang lebih dalam daripada sekadar tugas.
Doctor on the Edge yang diarahkan oleh Lee Myoungwoo dan ditulis oleh Kim Jisoo ini akan mula ditayangkan di Disney+ pada 1 Jun jam 10.30 malam waktu Malaysia. Episod baharu akan disiarkan setiap Isnin dan Selasa, dengan siri ini berlangsung hingga 6 dan 7 Julai.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments