MALAM 5 November, langit Malaysia berubah menjadi pemandangan yang luar biasa indah. Fenomena yang dikenali sebagai Supermoon atau lebih tepatnya Beaver Moon
Supermoon menjadikan bulan kelihatan lebih besar, lebih terang, dan jauh lebih memukau daripada biasa.
Di media sosial, ramai pengguna berkongsi foto langit yang diterangi cahaya kekuningan lembut. Ada yang merakam dari beranda rumah, tidak kurang juga yang sanggup keluar ke pantai semata-mata mahu menyaksikan sendiri momen 'bulan paling dekat dengan Bumi' itu.
Apa Sebenarnya Berlaku?
Supermoon terjadi apabila bulan berada paling hampir dengan Bumi (perigee) pada masa yang sama ia menjadi bulan penuh.
Disebabkan jaraknya yang lebih dekat, bulan boleh kelihatan sehingga 14 peratus (%) lebih besar dan 30% lebih terang daripada biasa, cukup untuk buat sesiapa saja terpaku menatapnya.
Untuk Malaysia, kemuncak Supermoon kali ini berlaku sekitar 9.19 malam waktu tempatan, dan boleh dilihat dengan jelas di kebanyakan negeri, bergantung pada keadaan awan.
Fenomena Terakhir Tahun Ini
Supermoon pada 5 November ini juga menandakan kemunculan terakhir bagi tahun 2025, menutup siri empat Supermoon yang berlaku sepanjang tahun ini.
Menariknya, fenomena seterusnya hanya dijangka muncul semula sekitar September 2026. Jadi jika ada yang sempat menatap langit malam tadi, anda dikira ckup bertuah.
Kenapa Supermoon Tidak Berlaku Setiap Bulan?
Ramai mungkin tertanya, “Jika bulan penuh muncul setiap bulan, kenapa Supermoon tidak?” Jawapannya terletak pada bentuk orbit bulan yang tidak bulat sempurna, sebaliknya sedikit bujur (elips). Akibatnya, ada masa bulan berada lebih dekat dengan Bumi (perigee) dan ada masa ia sedikit jauh (apogee).
Supermoon hanya berlaku apabila dua keadaan itu 'bertembung' iaitubulan berada di titik paling hampir dan dalam masa sama berada pada fasa penuh. Disebabkan kitaran orbit dan fasa bulan tidak selari sepenuhnya, fenomena ini hanya berlaku tiga hingga empat kali setahun.
Selepas 5 November 2025, orbit bulan mula 'lari fasa' semula dan sebab itulah Supermoon seterusnya hanya dijangka muncul pada September 2026.
Menariknya, walaupun bulan nampak jauh lebih besar semasa Supermoon, saiz sebenarnya tidak berubah pun. Itu hanyalah ilusi optik yang dikenali sebagai Moon Illusion.
Fenomena seperti Supermoon selalu buat kita berhenti sejenak, mendongak ke langit dan menyedari betapa kecilnya kita di tengah alam yang luas ini. Bulan mungkin cuma satu, tapi setiap kali ia mendekat, dunia terasa sedikit lebih magis.
10 Fakta Menarik Tentang Supermoon
- Istilah Supermoon mula popular pada tahun 1979, diperkenalkan oleh ahli astrologi Richard Nolle.
- Jarak antara Bumi dan bulan semasa Supermoon boleh serendah 356,000 km, berbanding purata 384,000 km.
- Walaupun nampak sangat besar, perbezaan saiz sebenarnya sukar ditangkap kamera tanpa perbandingan visual.
- Supermoon boleh menyebabkan pasang surut laut lebih tinggi kerana tarikan graviti bulan yang lebih kuat.
- Nama Beaver Moon datang daripada tradisi penduduk asli Amerika yang ketika itu bersiap untuk musim sejuk dengan memasang perangkap berang-berang.
- Cuaca dan pencemaran cahaya bandar boleh menjejaskan kejelasan bulan, sebab itu kawasan luar bandar lebih sesuai untuk menikmati Supermoon.
- Dalam satu tahun, biasanya hanya berlaku tiga hingga empat Supermoon sahaja.
- Supermoon seterusnya dijangka berlaku sekitar September 2026.
- Dalam budaya lama, Supermoon sering dianggap simbol perubahan dan refleksi diri.
- Walaupun nampak lebih besar, saiz sebenar bulan tidak berubah, ia hanyalah ilusi optik apabila bulan berada rendah di ufuk. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments