Dalam situasi penuh ketidaktentuan ini, Alpro Pharmacy, rangkaian farmasi preskripsi terbesar di negara tampil menghulurkan bantuan segera kepada komuniti yang terjejas.
Keutamaan Alpro jelas iaitu untuk memastikan pesakit penyakit kronik tidak terputus bekalan ubat yang penting untuk kelangsungan rawatan.
Melalui Alpro Pharmacy dan Alpro ePharmacy, Program Bantuan Ubat Penyelamat Nyawa diaktifkan semula, menawarkan bekalan ubat kronik sehingga tujuh hari secara percuma kepada mangsa banjir yang disahkan layak.
Inisiatif ini dibiayai sepenuhnya oleh Alpro Foundation, selaras dengan misinya 'Bringing Hope, Changing Lives'.
Menurut Ketua Ahli Farmasi dan Pengarah Penglibatan di Alpro Pharmacy, Lim En Ni, keadaan banjir bukan sahaja mengganggu rutin rawatan pesakit, malah meningkatkan risiko penyakit berjangkit.
“Apabila air banjir meningkat, risiko leptospirosis, kolera, denggi dan pelbagai jangkitan kulit turut meningkat dengan ketara disebabkan air tercemar, tahap kebersihan yang terjejas, serta pembiakan nyamuk yang lebih cepat.
"Pada masa sama, pesakit penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan masalah jantung menghadapi risiko lebih tinggi jika rawatan mereka terganggu. Adalah sangat penting bagi mereka untuk meneruskan pengambilan ubat,” katanya.
Peka Kepada Gejala
Air yang tercemar mampu menyebarkan leptospirosis, yang biasanya hadir bersama gejala seperti demam, muntah, cirit-birit, menggigil dan sakit otot.
Situasi banjir juga membuka ruang kepada penyebaran kolera yang boleh menyebabkan dehidrasi teruk dalam masa singkat jika tidak dirawat. Pada masa sama, takungan air mempercepatkan pembiakan nyamuk Aedes, sekali gus meningkatkan risiko denggi.
Pendedahan berpanjangan kepada air banjir yang kotor turut menyebabkan jangkitan kulit dan masalah keradangan yang memerlukan perhatian segera.
Justeru Lim menasihatkan orang ramai supaya peka terhadap gejala seperti demam, ruam, muntah, cirit-birit, sakit kepala atau kelemahan secara tiba-tiba dan mendapatkan rawatan secepat mungkin jika tanda-tanda ini muncul. Tindakan awal, mampu mencegah komplikasi yang lebih serius.
Dalam banyak kes, keluarga terpaksa berpindah tanpa sempat membawa dokumen penting atau ubat-ubatan. Untuk memastikan rawatan pesakit tidak terhenti, Alpro Pharmacy mengaktifkan Program Bantuan Ubat Penyelamat Nyawa di lebih 300 cawangan seluruh negara.
Mangsa banjir hanya perlu membuat laporan polis berkaitan insiden banjir sebagai pengesahan. Bagi mereka yang kehilangan preskripsi, Alpro ePharmacy menyediakan konsultasi dalam talian secara percuma serta perkhidmatan e-preskripsi untuk memudahkan penyediaan ubat yang diperlukan tanpa sebarang kos tambahan. Semua bantuan ubat di bawah program ini dibiayai sepenuhnya oleh Alpro Foundation.
Lim menjelaskan, keperluan mendapatkan ubat adalah asas bagi pesakit penyakit kronik, terutamanya dalam keadaan kecemasan.
“Alpro Foundation komited menyokong komuniti dalam krisis. Peranan kami sebagai farmasi komuniti adalah memastikan pesakit dapat meneruskan rawatan dengan selamat, konsisten dan tanpa beban kewangan,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Program Bantuan Ubat Penyelamat Nyawa atau untuk mencari cawangan Alpro Pharmacy berdekatan, orang ramai boleh menghubungi Alpro Customer Care di 013-398 2923 atau berhubung terus dengan ahli farmasi profesional melalui WhatsApp Alpro ePharmacy di 019-702 1923. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments