HBO mengukuhkan lagi dunia Game of Thrones dengan pengumuman yang cukup menggembirakan peminat setia francais epik ini.
Dalam sesi pembentangan media yang berlangsung di New York City baru-baru ini, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif HBO dan HBO Max Content, Casey Bloys, mengesahkan bahawa dua siri besar iaitu A Knight of the Seven Kingdoms dan House of the Dragon akan disambung sehingga 2028. Kedua-duanya akan terus disiarkan di HBO dan boleh distrim di HBO Max.
A Knight of the Seven Kingdoms disambung untuk musim kedua, walaupun musim pertamanya baru akan ditayangkan pada Isnin, 19 Januari. Musim keduanya dijadualkan hadir pada 2027.
Sementara itu, musim ketiga House of the Dragon akan memulakan tayangan pada musim panas 2026 dan sebelum musim itu kembali lagi, HBO turut mengesahkan musim keempat yang bakal tiba pada 2028.
EVP HBO Programming dan Ketua HBO Drama Series and Films, Francesca Orsi, menyatakan rasa teruja terhadap kesinambungan kedua-dua siri ini.
"Bersama-sama, House of the Dragon dan A Knight of the Seven Kingdoms membuktikan betapa luas dan kaya imaginasi dunia ciptaan George R. R. Martin.
"Pada Januari nanti, saya percaya penonton akan terpesona dengan kisah inspirasi ‘underdog’ Dunk dan Egg yang begitu indah dikisahkan oleh George dan Ira Parker.
"Pada musim panas ini, House of the Dragon dijangka kembali membakar semangat penonton dengan beberapa pertempuran paling epik setakat ini,” ujarnya.
Dari dunia Westeros, A Knight of the Seven Kingdoms yang diarahkan oleh Owen Harris dan Sarah Adina Smith akan membawa penonton menyelusuri pengembaraan dua watak unik yang mencuit hati dan mengejutkan.
Barisan pelakon untuk musim pertamanya termasuk Peter Claffey sebagai Ser Duncan 'Dunk' the Tall dan Dexter Sol Ansell sebagai Egg, bersama Daniel Ings, Bertie Carvel, Danny Webb, Sam Spruell, Shaun Thomas, Finn Bennett, Edward Ashley, Tanzyn Crawford, Henry Ashton, Youssef Kerkour, Tom Vaughan-Lawlor dan Daniel Monks.
Sementara House of the Dragon pula diadaptasi daripada buku Fire & Blood karya George R. R. Martin, dengan latar masa 200 tahun sebelum Game of Thrones. Siri ini menyingkap sejarah House Targaryen yang penuh kuasa, konflik dan tradisi.
Musim ketiga menampilkan barisan pelakon mantap seperti Matt Smith, Emma D’Arcy, Olivia Cooke, Steve Toussaint, Rhys Ifans, Fabien Frankel, Ewan Mitchell, Tom Glynn-Carney dan Sonoya Mizuno.
Bagi yang ingin mengingati kembali kisah-kisah terdahulu, penonton boleh menonton semula musim pertama dan kedua House of the Dragon serta menantikan siri baharu A Knight of the Seven Kingdoms yang akan tiba di HBO Max pada 19 Januari depan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments