Taylor’s University dianugerahkan Status Swaakreditasi oleh MQA, pengiktirafan rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk universiti dengan sistem kualiti dalaman yang kukuh. |
TAYLOR’s University sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai peneraju pendidikan tinggi apabila secara rasmi dianugerahkan Status Swaakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), satu pengiktirafan tertinggi yang turut disahkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
Pengumuman bersejarah ini dibuat dalam Majlis Perasmian Persidangan Pengajaran & Pembelajaran Antarabangsa Taylor’s ke-16 (TTLC 2025), yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Penganugerahan ini mencerminkan keyakinan Kerajaan terhadap keutuhan sistem jaminan kualiti dalaman Taylor’s University, serta rekod pencapaian akademiknya yang konsisten dan berprestij di peringkat global.
Melalui status ini, Taylor’s University kini diberi kuasa untuk mengakreditasi sendiri program akademiknya melalui Jawatankuasa Senat universiti. Namun, bagi program profesional, pengiktirafan kekal di bawah pemantauan badan profesional masing-masing.
Susulan pengiktirafan tersebut, Taylor’s kini tergolong dalam kelompok hanya 20 institusi di Malaysia yang memegang status swaakreditasi, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai universiti bertaraf dunia yang diyakini atas kualiti, kerelevanan serta kebolehpasaran graduannya.
Pengiktirafan ini turut melengkapi pencapaian Taylor’s dalam QS World University Rankings 2026, di mana universiti tersebut berada di tangga ke-253 dunia, mengekalkan kedudukannya sebagai universiti swasta terbaik di Asia Tenggara.
Kecemerlangan dan Masa Depan Pendidikan
Menurut Dr. Zambry, penganugerahan ini bukan sekadar tanda aras baharu bagi universiti tempatan, tetapi juga manifestasi kepercayaan Kerajaan terhadap keupayaan Taylor’s dalam mengekalkan piawaian tertinggi dari segi akademik dan tadbir urus.
“Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan keutuhan sistem jaminan kualiti dalaman Taylor’s, malah menonjolkan rekod universiti dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, bersedia untuk masa hadapan, dan komited menyumbang kepada masyarakat.
“Saya yakin Taylor’s University akan terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan bertaraf dunia di rantau ini,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University, Profesor Barry Winn, menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu penghormatan besar yang hadir bersama tanggungjawab baharu.
“Status Swaakreditasi ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga satu amanah. Ia menegaskan keyakinan Kementerian Pendidikan Tinggi dan MQA terhadap Taylor’s.
“Dengan status ini, kami berpeluang merangka dan mengakreditasi program yang lebih responsif terhadap keperluan industri dan masyarakat. Taylor’s akan terus melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang, tetapi juga berjiwa global serta mampu memberi impak bermakna kepada dunia," tegasnya.
Persidangan TTLC tahun ini bertemakan 'Pendidikan Tinggi dalam Era AI: Mengubah Pembelajaran untuk Masa Depan Lestari', menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, penggubal dasar dan pemimpin industri dari seluruh dunia.
Tiga subtema utama dibincangkan adalah Kecerdasan Buatan (AI), Pendidikan untuk Pembangunan Lestari, dan Inovasi Kurikulum. Antara inisiatif menarik dalam persidangan ini ialah Impact Labs Taylor’s, yang menyatukan lebih 210 rakan industri dan organisasi bukan kerajaan bagi menangani cabaran global seperti kemiskinan bandar, sekuriti makanan dan perubahan iklim.
Selaras dengan fokus terhadap AI dan kelestarian, perbincangan ini menegaskan lagi peranan Taylor’s sebagai peneraju pemikiran pendidikan tinggi yang menghubungkan kecemerlangan akademik dengan impak dunia nyata di mana oa bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments