TV AlHijrah mencipta sejarah apabila muncul sebagai stesen televisyen pertama di Malaysia yang mematuhi sepenuhnya syarat Lesen Hiburan Awam Kanak-kanak dan Orang Muda di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.
Pengiktirafan ini bukan sekadar satu kejayaan pentadbiran, tetapi melambangkan komitmen besar stesen Islam negara itu dalam mengangkat standard industri penyiaran tempatan.
Ia sekali gus menjadi bukti bahawa setiap program yang melibatkan penyertaan kanak-kanak dan remaja di TV AlHijrah sentiasa dirancang, diterbitkan dan disiarkan dengan penuh tanggungjawab, selamat serta menepati garis panduan undang-undang.
Majlis penyerahan pengiktirafan bersejarah ini turut disiarkan secara langsung dalam program bual bicara pagi Assalamualaikum, yang menampilkan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Tuan Kamal Pardi, serta Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Hajah Nadzariah Mohamed.
Komitmen terhadap Bakat Muda & Kandungan Berkualiti
Menurut Hajah Nadzariah, pengiktirafan ini adalah bukti sokongan berterusan stesen terhadap kebajikan bakat muda dalam industri penyiaran.
“Kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini kerana ia membuktikan keupayaan TV AlHijrah untuk menyeimbangkan nilai syariah dengan keperluan industri penyiaran moden.
"Pematuhan terhadap Akta Kanak-kanak dan Orang Muda 1966 bukan sahaja menjamin keselamatan bakat cilik negara, malah mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai stesen televisyen yang mendidik dan membina masyarakat,” jelasnya.
Dengan sokongan JTKSM, stesen itu juga bakal menyediakan latihan khusus kepada para penerbit agar seluruh warga kerja memahami akta tersebut dan mampu mengaplikasikannya dalam setiap penerbitan.
Sejak mula bersiaran, TV AlHijrah konsisten mengekalkan identiti sebagai stesen yang mendidik, menghibur dan membina jati diri.
Dengan pengiktirafan baharu ini, reputasi TV AlHijrah sebagai penyiar Islam progresif semakin kukuh, bukan sekadar mematuhi undang-undang, malah mendahului inisiatif dalam menjaga kebajikan kanak-kanak dan remaja di dunia seni dan media.
Langkah ini dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan agensi kerajaan serta syarikat penerbitan, sekali gus memperluas penawaran kandungan positif untuk generasi muda.
TV AlHijrah membuktikan sekali lagi peranannya sebagai peneraju kandungan berimpak tinggi, mendidik dan bermanfaat, seiring aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat MADANI yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- Emmys 2025 Spotlight: Inilah Bintang, Siri yang Menang Besar
- AIM24: Belagu II Menang Album Terbaik, Aina Unggul Dengan 4 trofi utama
- “You’ve Got You” - Rosé Kongsi Ucapan Menyentuh Hati di VMAs 2025
0 Comments