Oleh: SORAYA AFNANMERDEKA dan Hari Malaysia bukan sekadar cuti umum dalam kalendar. Ia adalah momen untuk kita berhenti sejenak, menghargai makna kebersamaan dan apa ertinya menjadi rakyat Malaysia. Jika ada satu perkara yang mampu menyatukan kita melangkaui kaum, budaya dan bahasa, jawapannya mudah iaitu makanan.
Dari warung kampung hingga ke gerai tepi jalan, makanan bukan sahaja mengisi perut, tapi juga menjadi tali halus yang mengikat kita semua. Ia teman waktu susah, jambatan dalam persahabatan, dan simbol kepelbagaian yang membuat kita unik.
Hari ini, dalam era TikTok dan video tular, trend sering mempengaruhi apa yang kita pilih untuk makan. Tapi adakah populariti semata yang menentukan rasa, atau ada nilai yang lebih mendalam?
Itulah persoalan yang dibincangkan dalam sesi panel sempena pelancaran redBus Food Map Malaysia, sebuah platform baharu untuk memandu pengembara meneroka lokasi makanan wajib cuba di seluruh negara.
Panel itu menampilkan Ketua Pegawai Perniagaan redBus, Krishnan Ramaswami dan nama-nama besar dalam dunia kulinari serta kandungan iaitu Chin Ren Yi (pengasas bersama myBurgerLab) dan Hadi Salleh (content creator makanan).
Mereka sepakat bahawa makanan paling diingati bukan sekadar tentang rasa, tetapi kisah yang mengiringinya.
Tradisi yang Tetap Hidup Dalam Arus Trend
Sebahagian daripada kedai makan paling popular hari ini bukanlah yang ligat mengejar hype TikTok. Mereka teguh pada resipi lama, membuktikan bahawa keaslian akan sentiasa menyerlah bila dihidangkan dengan jiwa.
Lihat sahaja kisah Nasi Dagang Atas Tol di Kuala Terengganu. Bermula dari gerai kecil, ia kini menjadi fenomena nasional kerana kesetiaan pada rasa tradisi.
Popularitinya bukan hasil gimik media sosial, tetapi lahir daripada pelanggan setia yang menjadi jurucakap paling jujur, dari mulut ke mulut hingga akhirnya mencetus ‘buzz’ digital.
Makanan Sebagai Destinasi
“Makanan menggerakkan kita. Ia antara sebab terbesar rakyat Malaysia mulakan percutian,” kata Krishnan Ramaswami.
Bagi ramai rakyat Malaysia, merancang cuti tidak bermula dengan hotel, tetapi dengan menu. Ada yang sanggup memandu berjam-jam hanya untuk sepinggan char kuey teow yang dimasak atas api arang, seperti di Bee Hwa Cafe, Pulau Pinang.
Aromanya yang berasap dan rasa klasik itulah yang membuatkan orang sanggup beratur panjang, bukti ada hidangan yang memang berbaloi untuk dikejar.
Keaslian yang Berevolusi
“Menjadi asli bukan bermakna menolak perubahan. Kita boleh kekal setia pada asal sambil menyesuaikan diri dengan trend,” ujar Hadi Salleh.
Di seluruh Malaysia, banyak kedai makan memberi nafas moden pada resipi kampung. Village Park di Damansara Uptown adalah contoh sempurna.
Dengan nasi lemak ikoniknya, kedai ini kekal relevan bertahun-tahun tanpa gimik, hanya dengan konsistensi rasa. Ia jadi tempat wajib singgah bukan saja untuk keluarga biasa, malah orang kenamaan.
Rasa Kampung Halaman
Setiap negeri membawa identiti rasa tersendiri. Daripada nasi kerabu Kelantan hingga patin tempoyak Temerloh, hidangan tempatan sentiasa mencerminkan jiwa komuniti.
Di Kancil Raja Patin HQ, Temerloh, rahsia resipi keluarga yang diwarisi turun-temurun dengan 13 ramuan menjadikan patin tempoyak mereka legenda. Lebih daripada sekadar lauk, ia adalah rasa tanah kelahiran yang membanggakan.
Fusion Sejak Dahulu
Malaysia bukan baru kenal istilah fusion. Identiti kulinari kita sendiri lahir daripada ratusan tahun perdagangan, penghijrahan dan perkahwinan campur. Hidangan seperti mee goreng mamak atau nasi kandar adalah bukti integrasi budaya yang berlaku secara semula jadi.
Di Melaka, Jonker 88 terus menyajikan laksa Baba Nyonya dalam rumah kedai Peranakan klasik, sebuah simbol bagaimana sejarah dan rasa boleh hidup bersama.
Satu Meja, Seribu Cerita
Budaya makanan Malaysia bukan sekadar tentang apa yang ada di pinggan. Ia adalah kisah penghijrahan, adaptasi dan kenangan yang membentuk siapa kita hari ini.
Daripada hidangan jalanan hingga restoran ikonik, setiap suapan membawa cerita, kisah yang wajar diraikan dan dikongsi bersama.
Dengan pelancaran redBus Food Map Malaysia, pengembara kini ada panduan baharu untuk meneroka semuanya, daripada legenda jalanan hinggalah lokasi makan paling tular. Ini kerana pada akhirnya, makanan bukan sekadar untuk dimakan, tetapi untuk dirasai, dihargai, dan diceritakan kembali.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments