BINTANG pop ikonik, Lady Gaga kembali menyinari pentas global dengan pelancaran konsert jelajah terbaharunya, The Mayhem Ball, yang bakal membuka tirai pada 16 Julai 2025 di T-Mobile Arena, Las Vegas.
Jelajah ini menjadi kemunculan semula dalam skala besar bagi Gaga selepas lebih lima tahun,sejak The Chromatica Ball, sekali gus menandakan era baharu dalam karier seninya.
Diumumkan secara rasmi pada Mac 2025, The Mayhem Ball pada asalnya merangkumi lebih 50 persembahan di Amerika Utara dan Eropah.
Namun, dalam beberapa minggu terakhir, siri jelajah itu berkembang kepada 63 persembahan, termasuk penambahan beberapa lokasi di Asia dan Australia yang diumumkan minggu lalu.
Beberapa venue ikonik seperti Madison Square Garden (New York) dan Chase Center (San Francisco) turut ditambah selepas jualan tiket awal mencatat permintaan luar biasa.
Tidak seperti jelajah terdahulu, Gaga kali ini memilih untuk membawa The Mayhem Ball dalam format arena berkapasiti sederhana, bukan stadium, demi mencipta suasana konsert yang lebih intim dan immersive, dengan produksi visual yang padat dengan elemen teatrikal.
Dalam temu bual terbaharunya, Gaga menyatakan bahawa jelajah ini akan menampilkan sisi yang 'lebih raw dan personal' dalam penceritaan muziknya, namun tetap mengekalkan elemen dramatik yang menjadi identitinya di atas pentas.
Menjanjikan Pengalaman Baharu
Mengikut laporan Billboard dan Variety, The Mayhem Ball dijangka meraih pendapatan kasar antara USD 100–125 juta, menjadikannya antara siri jelajah arena paling besar dalam kerjaya Gaga setakat ini.
Selain pembukaan di Las Vegas, konsert awal akan berlangsung di beberapa bandar utama Amerika Syarikat termasuk Los Angeles, San Francisco, Chicago dan Miami, sebelum bergerak ke Eropah dengan persinggahan di London, Paris, Berlin dan Milan.
Asia turut dimasukkan ke dalam peta jelajah kali ini, dengan destinasi seperti Tokyo, Seoul, Bangkok dan Sydney diumumkan secara rasmi minggu ini.
Sambutan luar biasa di beberapa lokasi menyebabkan Gaga menambah tiga malam di Madison Square Garden (27 Ogos, 6 & 7 September), serta tiga malam di Chase Center (22, 24 & 26 Julai). Penambahan ini diumumkan selepas tiket prajualan habis dibeli dalam masa kurang sejam.
Album Baharu ‘Mayhem’ Jadi Tunjang Jelajah
Konsert ini juga akan menampilkan lagu-lagu daripada album studio baharu Gaga berjudul Mayhem, yang dilancarkan pada 7 Mac lalu.
Album ketujuh dalam diskografinya ini membawa nuansa synth-pop dan industrial dance, serta menampilkan beberapa lagu hit seperti Disease, Abracadabra dan Die With A Smile (duet bersama Bruno Mars) yang melonjak ke tangga pertama carta antarabangsa.
Jelajah ini dilihat sebagai manifestasi seni Gaga yang terus berevolusi, bukan sekadar membawa rangkaian lagu popular seperti Bad Romance, Shallow dan Rain on Me, tetapi juga membina naratif persembahan penuh warna, tenaga dan emosi.
Dengan The Mayhem Ball, Lady Gaga membuktikan bahawa selepas lebih 15 tahun dalam industri, dia masih mampu mencabar sempadan seni persembahan dan memimpin revolusi dalam dunia muzik pop moden.
Lebih daripada sekadar siri jelajah, ini adalah sebuah manifesto seni dan keberanian yang telah menjadi DNA Lady Gaga sejak awal kariernya dan kini kembali menyala di pentas global. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments