| Konsert Aishah 40 Chapters of Love meraikan lebih empat dekad perjalanan seni Aishah dalam industri muzik tanah air |
EMPAT dekad bukan sekadar angka dalam dunia muzik, tetapi satu perjalanan panjang yang dipenuhi suara, emosi dan kenangan yang membentuk sebuah legasi.
Dalam lanskap muzik tanah air yang sentiasa berubah, nama Datuk Aishah terus kekal sebagai antara suara yang merentas generasi, meninggalkan jejak yang sukar diganti.
Simbolik penghargaan terhadap perjalanan seni tersebut, sebuah konsert istimewa, Aishah 40 Chapters of Love, bakal berlangsung di Megastar Arena pada 4 Julai 2026, jam 8 malam.
Bukan sekadar persembahan pentas, ia dirangka sebagai sebuah pengalaman yang menghidupkan semula bab-bab penting dalam evolusi seorang penyanyi yang telah lama bertapak dalam industri muzik negara.
Dibawakan oleh oleh Vox Nation Live selaku penganjur, konsert solo berskala besar ini menjadi simbol perayaan dan penghormatan kepada karya serta kisah yang mengiringi perjalanan seni lebih empat dekad Aishah dalam industri muzik tanah air.
Konsep persembahan istimewa ini dibina berasaskan penceritaan melalui muzik, di mana setiap segmen mewakili fasa berbeza dalam kerjaya seninya. Ia bukan sekadar himpunan lagu, tetapi satu naratif yang menyatukan cinta, nostalgia dan evolusi diri seorang artis yang telah lama menjadi sebahagian daripada memori pendengar.
Antara karya yang dijangka menjadi sorotan termasuk Janji Manismu, Camar Yang Pulang dan Kemaafan Dendam Yang Terindah, yang selama ini menjadi sebahagian daripada soundtrack kehidupan ramai peminat. Lagu-lagu ini bukan sahaja membawa hiburan, tetapi juga menghidupkan kembali detik-detik yang pernah membentuk emosi dari satu generasi ke generasi.
Menurut pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin, konsert ini membawa makna yang sangat peribadi sebagai penghargaan kepada mereka yang setia bersama sepanjang perjalanan seninya.
“Konsert ini adalah hadiah saya buat semua peminat yang telah bersama saya sepanjang perjalanan ini. Saya mahu malam itu menjadi satu pengalaman yang benar-benar bermakna, bukan sahaja untuk saya, tetapi untuk semua yang hadir dan berkongsi kenangan bersama,” katanya.
Vinyl Edisi Terhad
Menambah nilai eksklusif kepada acara ini, sebuah vinyl edisi terhad turut dilancarkan sempena konsert tersebut. Dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad, ia menjadi koleksi fizikal berbentuk klasik yang sarat nilai sentimental, merakam perjalanan seni penyanyi berusia 61 tahun itu dalam bentuk yang lebih peribadi dan bermakna.
Menjelang malam konsert, Aishah kini giat menjalani persiapan dari segi vokal, mental dan fizikal bagi memastikan setiap persembahan berada pada tahap terbaik.
Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang, menyifatkan konsert ini sebagai satu penghormatan kepada legasi seni yang telah memberi impak besar kepada industri muzik tempatan.
“Ini bukan sekadar konsert, tetapi sebuah naratif yang hidup di atas pentas. Kami mahu setiap penonton merasai emosi di sebalik setiap lagu, dan pulang dengan pengalaman yang benar-benar meninggalkan kesan,” katanya.
Dengan gabungan vokal yang merentas generasi, susunan muzik yang menyentuh emosi serta produksi berskala besar, Aishah 40 Chapters of Love dijangka menjadi sebuah malam yang bukan sahaja meraikan sejarah, tetapi juga menghidupkan semula kenangan yang membentuk perjalanan muzik tanah air.
Tiket konsert kini boleh didapati melalui platform Ticketmelon dengan harga bermula RM168 hingga RM788. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments