Oleh: AILEEN ADAM
DUNIA hiburan Korea Selatan dikejutkan dengan berita pemergian pelakon, Kang Seo Ha yang meninggal dunia akibat kanser perut di Korea Selatan pada Ahad.
Seo Ha menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 31 tahun, setelah sekian lama bertarung secara senyap dengan penyakit berkenaan yang dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
Difahamkan bintang drama
Heart Surgeons itu menghidap kanser sejak beberapa tahun lalu, namun tidak pernah menunjukkan masalah kesihatannya, malah tetap aktif berlakon sehingga ke akhir hayatnya.
Mendiang baru sahaja menamatkan penggambaran filem terbaharunya berjudul
In The Net (Mangnaein) sebagai teraju utama, dan turut dibintangi Kim Seon Ho dan Park Gyu Young.
Menurut laporan media tempatan, majlis penghormatan terakhir dijadualkan berlangsung di Dewan Pengebumian Hospital St. Mary’s Banpo-dong, Seoul.
Sementara upacara pengebumian pula dijadualkan berlangsung pada 16 Julai (Rabu), sebelum mendiang dikremasi dan abunya disemadikan di tanah perkuburan keluarga di Haman, Wilayah Gyeongsang Selatan.
Menerusi kenyataan keluarga, mendiang digambarkan sebagai seorang yang cekal, tidak pernah mengeluh dan tetap mengutamakan orang sekeliling walaupun sedang menderita.
Salah satu memori menyentuh hati yang dikongsikan ialah keinginannya untuk tetap belanja rakan-rakannya makan, walaupun dia tiada selera kerana rawatan kemoterapi.
Seo Ha mula berjinak-jinak dalam dunia hiburan Korea Selatan pada 2012 melalui kemunculan dalam video muzik kumpulan Brave Girls berjudul
Getting Away.
Mendiang kemudian mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan dengan membintangi pelbagai drama seperti
Schoolgirl Detectives, Assembly, First Love Again, Through the Waves, Flowers of the Prison, Heart Surgeons dan
Nobody Knows.
Pemergian mengejut Seo Ha mencetuskan rasa dukacita dalam kalangan rakan selebriti serta peminat yang tidak putus-putus menzahirkan ucapan takziah menerusi media sosial, khususnya laman Instagram milik mendiang.
Kehilangan ini bukan sahaja dirasai industri hiburan Korea, tetapi juga peminat antarabangsa yang mengenang Kang Seo Ha sebagai seorang pelakon berdedikasi dengan aura yang tenang dan menyentuh hati.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments