Salam Baitullah 2026 Angkat Naratif 'Jihad Yang Terindah'


KEBERKESANAN kandungan dakwah yang disampaikan melalui medium penyiaran terus membuktikan relevansinya apabila program Salam Baitullah mencatat hampir lima juta tontonan keseluruhan merentasi platform televisyen dan digital pada musim lalu.

Pencapaian tersebut menjadi indikator jelas bahawa pendekatan penyampaian yang berhikmah masih mampu menarik perhatian khalayak pelbagai lapisan, termasuk generasi muda yang semakin selektif terhadap kandungan media.

Dalam perkembangan musim baharu, Salam Baitullah 2026 kembali dengan pendekatan yang lebih menyentuh emosi dan refleksi spiritual, sejajar dengan usaha memperkukuh peranan kandungan Islam dalam landskap media arus perdana.

Program ini memasuki musim ke-18 dengan tema 'Jihad Yang Terindah', yang mengangkat makna jihad dalam dimensi lebih luas merangkumi perjalanan batin, pengabdian dan pencarian reda Ilahi.

Pelancaran program tersebut telah berlangsung di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam, baru-baru ini, sekali gus menandakan komitmen berterusan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar awam negara dalam memperkasa kandungan dakwah yang lebih segar, relevan dan dekat dengan audiens semasa.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail, menegaskan bahawa kejayaan program ini tidak hanya diukur melalui angka tontonan semata-mata, sebaliknya melalui kesan yang ditinggalkan kepada jiwa penonton.

“Kejayaan musim lalu yang merekodkan hampir 5 juta tontonan keseluruhan merentasi platform televisyen dan digital membuktikan bahawa kandungan dakwah yang disampaikan secara berhikmah terus mendapat tempat, termasuk dalam kalangan generasi muda.

"Namun bagi kami di RTM, nilai sebenar tidak terletak pada angka semata-mata, sebaliknya pada hati yang tersentuh, air mata yang gugur serta niat yang terdetik untuk berubah,” ujarnya.

Musim 2026 turut menyaksikan penambahbaikan dari segi pendekatan produksi apabila siaran langsung Salam Baitullah dijadualkan berlangsung bermula 13 Mei hingga 27 Mei 2026, setiap hari jam 9 malam hingga 10.30 malam di TV1.

Penerbitan kali ini juga memperkenalkan lagu tema rasmi (OST) berjudul Salam Baitullah yang dinyanyikan oleh Lah Ahmad, sekali gus menambah dimensi emosi dalam penyampaian naratif program.

Pendekatan Digital, AI dan Pengembangan Kandungan

Seiring perkembangan teknologi semasa, RTM turut memperluaskan capaian program ini menerusi platform digital dengan pengenalan Salam Baitullah Unplugged (Podcast) yang menampilkan pendekatan lebih santai tanpa mengabaikan nilai ilmu dan pengisian rohani.

Program Salam Baitullah Unplugged: Benda Baik Kita Borak, yang dikendalikan oleh Tajdid Hadhari, akan bersiaran setiap hari pada jam 7.45 malam dengan kehadiran pempengaruh, selebriti serta tokoh jemputan.


Selain itu, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut diintegrasikan dalam penyampaian kandungan musim ini sebagai usaha memperbaharui pengalaman tontonan.

Inisiatif tersebut bukan sekadar pembaharuan visual, tetapi bertujuan memastikan mesej Islam terus disampaikan dalam bentuk yang lebih segar, mudah diakses dan selari dengan keperluan audiens kontemporari.

Tema 'Jihad Yang Terindah' turut ditafsirkan sebagai perjalanan spiritual yang merangkumi pengorbanan, ketundukan dan pencarian makna hidup, khususnya melalui ibadah haji yang menjadi kemuncak pengabdian seorang Muslim sebagai tetamu Allah atau Duyufurrahman.

Pendekatan ini turut berteraskan prinsip Wasatiyyah yang menekankan keseimbangan antara dunia dan akhirat, usaha dan tawakal, serta jasmani dan rohani.

Musim ini juga memperkenalkan enam segmen utama iaitu Khabar Tanah Suci, Duyufurrahman, Al-Bayan, Rehlah Haramain, Kapsul Haji serta segmen baharu Istiqamah yang disusun bagi memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai perjalanan ibadah haji dari pelbagai sudut pengalaman dan ilmu.

Dengan slogan 'Jihad Yang Terindah', Salam Baitullah 2026 terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara program dakwah televisyen yang bukan sahaja mendidik, tetapi juga membina kesedaran spiritual dalam kalangan masyarakat.

Dikemudi oleh Jalal Zaiki dan Ustaz Izmir Fareez, program ini menggabungkan elemen ilmu, emosi dan spiritual dalam satu perjalanan siaran yang lebih utuh dan bermakna.

Salam Baitullah 2026 akhirnya hadir bukan sekadar sebagai tontonan bermusim, tetapi sebagai naratif jiwa yang mengajak penonton merenung makna pengabdian, kerinduan dan perjalanan pulang kepada Ilahi. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments