Oleh: AILEEN ADAM
LOS Angeles (LA) menyaksikan momen luar biasa apabila Rosé dan Bruno Mars bergabung buat kali pertama di pentas sama, membawakan lagu duet mereka yang tular, APT., secara live pada konsert BLACKPINK, malam Ahad lalu.
Kemunculan mengejut Bruno Mars di SoFi Stadium pada 13 Julai itu ternyata menjadi kemuncak persembahan malam kedua BLACKPINK dalam siri jelajah DEADLINE World Tour di LA.
Ribuan peminat menjerit teruja sebaik Bruno muncul untuk menyertai Rosé menyampaikan APT., lagu kolaborasi mereka yang dilancarkan pada penghujung tahun lalu.
Duo popular itu tampil dengan menggayakan jaket sedondon, lincah dan penuh bertenaga menyanyi sambal menari bersama barisan penari latar. Mereka turut berkongsi pelukan mesra ketika menyanyi secara harmoni, dan suasana bertukar magis apabila confetti mula berterbangan di seluruh stadium.
Peminat tidak melepaskan peluang menyanyi bersama dari awal hingga akhir lagu sehingga gegak gempita satu stadium.
Pada persembahan terdahulu, APT. hanya dibawakan oleh Rosé dalam segemn solo konsert berkenaan. Namun persembahan malam itu menyaksikan kali pertama Bruno Mars menyertainya secara langsung, sekali gus mencipta momen istimewa yang akan diingati peminat sepanjang jelajah ini.
Kolaborasi Bermakna
Lagu APT. dimuatkan dalam album solo debut Rosé berjudul Rosie, yang dilancarkan Disember lalu meraih kejayaan luar biasa apabila tular di seluruh dunia, selain menduduki puncak pelbagai carta lagu popular.
Dalam satu temu bual bersama The Cut, Rosé mendedahkan bahawa pengalaman bekerjasama dengan Bruno Mars memberinya perspektif baharu sebagai penulis lagu dan artis solo.
“Saya selalu rasa bersalah bila tak ada idea cepat, seolah-olah saya tak cukup bagus. Tapi Bruno ajar saya untuk percaya dengan timing sendiri. Saya jadi lebih yakin dengan apa yang saya rasa betul dan berani buat sampai jadi,” katanya.
Persembahan Rosé dan Bruno Mars malam Ahad lalu bukan sekadar kejutan, tapi ia adalah simbol persahabatan kreatif dan kekuatan dua ikon muzik yang bersatu untuk mencipta magis di atas pentas.
Konsert di Los Angeles itu merupakan sebahagian daripada dua malam persembahan BLACKPINK di bandar tersebut, selepas mereka memulakan siri jelajah DEADLINE di Stadium Goyang, Korea Selatan pada 5 Julai lalu.
Rosé, Jennie, Jisoo dan Lisa kini kembali menjelajah dunia sebagai satu kumpulan setelah hampir setahun memberi tumpuan kepada projek solo masing-masing.
Siri DEADLINE World Tour bakal berlangsung selama enam bulan dan akan membawa BLACKPINK menjelajah ke pelbagai lokasi utama di Amerika Utara, Eropah dan Asia. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments