RADIO Televisyen Malaysia (RTM) telah menghentikan sepenuhnya siaran siri animasi Cleopatra in Space yang sebelum ini ditayangkan menerusi saluran TV2, berkuat kuasa serta-merta.Keputusan tersebut dibuat susulan beberapa pandangan serta kebimbangan orang ramai berhubung kandungan siri animasi berkenaan yang didakwa mengandungi elemen berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), selepas ia disiarkan pada 18 April dan 19 April lalu, jam 9 pagi.
Terdahulu, penayangan siri animasi berkenaan mencetuskan perbincangan dalam kalangan penonton yang mempersoalkan kesesuaian kandungan tersebut untuk tontonan umum, khususnya bagi penonton kanak-kanak.
Selain itu, terdapat juga pandangan yang mengaitkan kandungan berkenaan dengan kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya unsur atau pendekatan yang dilihat mempromosikan idea berkaitan LGBT.
Seiring dengan maklum balas yang diterima, RTM mengambil langkah untuk menghentikan penayangan siri tersebut sementara siasatan dalaman yang menyeluruh dijalankan bagi meneliti kandungan berkenaan secara terperinci.
Sebagai penyiar awam negara, RTM menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan setiap kandungan program yang disiarkan adalah berkualiti, selamat untuk tontonan umum, serta selaras dengan sensitiviti masyarakat, agama dan norma budaya tempatan.
RTM turut merakamkan penghargaan kepada penonton yang sentiasa prihatin serta memberikan maklum balas membina, yang menjadi asas penting dalam usaha penambahbaikan mutu siaran dari semasa ke semasa.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments