| Suasana sesi pelepasan peserta Clean Nation Fun Run yang disempurnakan oleh Dr. Haniza Hanim (kanan) di Dataran Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah | FOTO: UPSI |
BERTEMAKAN gaya hidup sihat dan kesedaran keselamatan yang semakin diberi perhatian dalam kalangan warga kampus, Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2026 diisi dengan pelbagai pengisian yang menggabungkan elemen ilmu, kesedaran dan aktiviti komuniti.
Antara yang mencuri perhatian ialah Clean Nation Fun Run, acara larian santai yang menjadi simbol kepada usaha membudayakan kesihatan dan keselamatan dalam suasana kampus yang lebih aktif dan inklusif.
Program Clean Nation Fun Run yang berlangsung sempena Majlis Perasmian Penutupan OSH Week UPSI 2026 pada Rabu itu, menghimpunkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada pelajar dan kakitangan universiti, yang bersama-sama menyertai larian sejauh 5 kilometer di Dataran Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, Perak.
Penganjuran acara ini membawa pendekatan santai tetapi bermakna dalam usaha memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan gaya hidup sihat, kebersihan dan keselamatan dalam kehidupan harian warga universiti. Ia juga mencerminkan usaha berterusan UPSI dalam menghubungkan aspek kesihatan fizikal dengan pembentukan persekitaran kampus yang lebih selamat dan sejahtera.
Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman, berkata, kecemerlangan sesebuah institusi tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh tahap disiplin dan kesihatan warganya.
“Penganjuran program ini membuktikan bahawa kecemerlangan bermula dengan disiplin fizikal dan persekitaran yang bersih,” katanya.
Dalam masa sama, Helmi menekankan bahawa budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu diterapkan secara berterusan dan tidak terhenti selepas sesuatu program berakhir.
“Janganlah semangat OSH ini padam sebaik sahaja tirai program dilabuhkan. Jadikan amalan keselamatan, kesihatan dan integriti sebagai darah daging kita,” tambahnya.
| Helmi Zaifura (tengah) ketika menyempurnakan Penutupan OSH Week | FOTO: UPSI |
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan UPSI, Profesor Dr. Haniza Hanim Mohd Zain, menjelaskan, OSH Week berperanan sebagai platform penting dalam memperkukuh kesedaran warga universiti terhadap aspek keselamatan di tempat kerja.
Program ini turut memberi ruang penglibatan aktif melalui pelbagai aktiviti seperti ceramah, pameran, pertandingan poster integriti, pertandingan TikTok dan kempen keselamatan jalan raya, yang semuanya bertujuan meningkatkan kefahaman serta penghayatan terhadap amalan kerja selamat.
“Melalui OSH Week, kita mahu membentuk budaya kerja yang lebih proaktif terhadap keselamatan serta memastikan setiap warga UPSI memahami bahawa pencegahan risiko adalah tanggungjawab bersama demi mewujudkan persekitaran kampus yang kondusif dan sejahtera,” katanya.
Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UPSI 2026 berlangsung selama empat hari, bermula 27 April lalu dengan pelbagai pengisian yang memberi fokus kepada kesejahteraan warga kampus.
Program ini turut menekankan pembudayaan amalan kerja selamat serta peningkatan kesedaran terhadap aspek keselamatan dan kesihatan dalam persekitaran universiti. - 7KLIK
[KREDIT: Bazli Razak/UPSI]
ARTIKEL LAIN:
0 Comments