Kopi Creator Kolektif Class of 2026: Starbucks Malaysia Terus Angkat Bakat Kreatif Tempatan


SEMPENA World Creativity and Innovation Day, Starbucks Malaysia memperkenalkan Kopi Creator Kolektif (KCK) Class of 2026, sebuah inisiatif yang terus memperkukuh usaha dalam menyokong bakat kreatif tempatan.

Program ini menampilkan 10 finalis iaitu lima dalam bidang muzik dan lima dalam bidang perfileman yang dipilih untuk menyertai pembangunan kreatif melalui sesi masterclass dan bimbingan industri.

Finalis akan mempersembahkan karya masing-masing pada 16 Mei 2026 di Starbucks Reserve IOI Mall Damansara, dengan hadiah utama bernilai RM10,000 bagi setiap kategori.

Kopi Creator Kolektif berfungsi sebagai platform yang menghubungkan bakat muda dengan komuniti kreatif serta mentor industri. Berlandaskan falsafah 'Third Place', ruang kafe Starbucks dilihat bukan sekadar lokasi menikmati kopi, tetapi juga ruang idea berkembang, dikongsi dan ditemui.

Kajian tempatan pada 2024 melibatkan 230 pelajar universiti turut menunjukkan kafe sering dianggap sebagai ruang sosial dan kerja yang digunakan untuk berbincang, belajar dan menyiapkan tugasan, malah dianggap sebagai 'rumah kedua'. Ini mengukuhkan peranan KCK sebagai ekosistem kreatif yang lebih dekat dengan komuniti.

Perjalanan Class of 2026: Dari Idea ke Showcase

Pengarah Pemasaran & Kesetiaan, Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn Bhd, Zakiah Hanim Md Zaki, menekankan peranan kafe sebagai ruang yang membina hubungan dan kreativiti.

“Di Starbucks, kami melihat kafe kami sebagai ‘Third Place’, iaitu ruang mesra yang membolehkan rakyat Malaysia berhubung, bertukar idea dan merasakan diri mereka sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar.

"Sangat menginspirasikan melihat bakat kreatif Malaysia berkumpul melalui Kopi Creator Kolektif. Kami berbangga menyokong inisiatif yang berteraskan keaslian dan hubungan ini dengan membuka ruang kafe kami untuk karya anak Malaysia ditemui, disokong dan diraikan,” ujarnya.

Seiring perkembangan program, KCK terus menjadi platform yang memberi ruang kepada bakat baharu untuk berkembang dalam ekosistem kreatif yang lebih tersusun.

Mentor bagi kategori filem, Pengarah dan mentor kohort filem serta alumni Fakulti Seni Sinematik Universiti Multimedia (MMU), Adam Zainal, turut menekankan kepentingan ruang seperti ini dalam membuka peluang kepada suara baharu dalam industri.

Pemilihan finalis bermula dengan panggilan terbuka di seluruh negara, di mana peserta menghantar idea dan portfolio untuk dinilai panel industri. Seramai 10 finalis kemudiannya dipilih untuk melalui program pembangunan dari fasa idea hingga persembahan akhir.

Untuk kategori muzik, Breaking Music mengetuai sesi pembangunan yang merangkumi identiti artis dan penulisan lagu asal, selain akses kepada studio rakaman dan peralatan industri.

Sementara itu, kategori filem dibimbing oleh Weekend Boys Studio bersama Fakulti Seni Sinematik MMU melalui sesi mentor yang menumpukan kepada penceritaan, pembangunan konsep dan proses produksi dari awal hingga akhir.

Mentor muzik, Isaac Ravi, melihat inisiatif ini sebagai platform penting yang membuka ruang kepada bakat baharu untuk berkembang dalam industri sebenar, selain memberi peluang untuk eksperimen dan pertumbuhan kreatif.

Pentas Showcase & Pengiktirafan Bakat Baharu

Kemuncak program akan berlangsung pada 16 Mei 2026 di Starbucks Reserve IOI Mall Damansara, di mana finalis akan mempersembahkan hasil karya mereka kepada umum.

Finalis muzik akan membawakan sekurang-kurangnya satu lagu asal, manakala finalis filem akan menayangkan teaser berdasarkan konsep yang dibangunkan sepanjang program. Acara ini menjadi ruang pertemuan antara pencipta dan penonton, memberi peluang kepada bakat baharu diperkenalkan kepada komuniti lebih luas.

Pemenang kategori muzik akan menerima kontrak rakaman EP empat lagu, manakala pemenang kategori filem akan menerima penerbitan filem pendek asal, masing-masing bernilai RM10,000.

KCK pertama kali diperkenalkan pada penghujung 2025 melalui sesi muzik intim yang menampilkan Amanda Imani, An Honest Mistake dan RESORT.

Tahun ini, platform diperluaskan dengan penglibatan kategori filem, membuka lebih banyak ruang untuk bakat kreatif tempatan diketengahkan.

Melalui Kopi Creator Kolektif, Starbucks Malaysia terus memperkukuh peranannya sebagai ruang komuniti yang menyokong perkembangan kreativiti sama ada melalui muzik, filem atau interaksi harian di ruang kopi. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments