Misi Global, Pengkhianatan Baharu — 'Citadel Season 2' Tampil Lebih Intens

Citadel musim kedua kembali menemui penonton pada 6 Mei ini | FOTO: Prime Video

PLATFORM penstriman Prime Video akhirnya mengumumkan tarikh tayangan rasmi serta treler penuh untuk musim kedua siri aksi perisikan popular, Citadel, sekali gus memberi gambaran lebih jelas tentang skala cerita yang bakal diperluaskan.

Kesemua tujuh episod akan dilancarkan serentak pada 6 Mei 2026, dan boleh distrim secara eksklusif di Prime Video di lebih 240 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Pelancaran ini menandakan kesinambungan kepada naratif berintensiti tinggi yang sebelum ini memperkenalkan dunia perisikan global yang penuh misteri dan konflik kuasa.

Musim baharu ini terus mengikuti perjalanan tiga watak utamanya iaitu Mason Kane lakonan Richard Madden, Nadia Sinh (Priyanka Chopra Jonas), serta Bernard Orlick (Stanley Tucci) yang merupakan ejen elit daripada organisasi legenda Citadel.

Selepas kejatuhan agensi tersebut akibat serangan Manticore, sebuah rangkaian berbahaya yang disokong keluarga paling berpengaruh di dunia, ketiga-tiga mereka kini terpaksa kembali ke medan operasi.

Kemunculan ancaman baharu yang lebih kompleks memaksa mereka bukan sahaja beraksi semula, malah membentuk pasukan baharu daripada barisan ejen yang tidak dijangka.

Misi kali ini membawa mereka merentasi pelbagai lokasi global dalam usaha menggagalkan konspirasi berskala besar yang berpotensi mengubah landskap dunia.

Dengan gabungan aksi berskala besar, elemen pengkhianatan yang tidak terduga serta kemunculan karakter misteri, musim kedua ini dijangka memperluaskan lagi dunia Citadel dengan taruhan yang jauh lebih tinggi, di mana garis antara sekutu dan musuh menjadi semakin kabur.

Selain kepulangan pelakon seperti Lesley Manville dan Ashleigh Cummings, musim ini turut memperkenalkan barisan pelakon baharu termasuk Jack Reynor, Matt Berry, serta Lina El Arabi. Turut menyertai ensemble ini ialah Merle Dandridge, Gabriel Leone dan Rayna Vallandingham, menambah dimensi baharu kepada penceritaan yang semakin kompleks.

Diterbitkan oleh Amazon MGM Studios bersama AGBO milik adik-beradik Russo, siri ini mengekalkan sentuhan produksi berskala besar dengan Anthony Russo dan Angela Russo-Otstot sebagai penerbit eksekutif.

David Weil pula kembali menggalas peranan sebagai showrunner, pengarah dan penerbit eksekutif, dibantu oleh Joe Russo dan Greg Yaitanes.

Dengan naratif yang semakin meluas serta taruhan lebih besar, musim kedua Citadel dilihat bersedia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai antara siri perisikan moden yang paling ambisius dalam landskap penstriman global.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments