Liza Hanim tunai janji, tampilkan persembahan penuh energi, berimpak buat peminat di konsert sulung


AKHIRNYA penantian untuk menyaksikan penyanyi bervokal gemersik, Liza Hanim menjayakan konsert sulungnya menjadi kenyataan dengan berlangsungnya Liza Hanim 27 Years Journey In Concert di Zepp Kuala Lumpur pada Ahad.

Biarpun tidak dalam kondisi terbaiknya disebabkan masalah kesihatan yang dialami akibat demam dan sakit dada sejak dua minggu lalu, pemilik nama sebenar Haliza Hanim Abd Halim itu tampil dengan persembahan memukau selama hampir tiga jam konsert berlangsung.

Energinya begitu positif, apatah lagi mendapat semangat dan sokongan hangat lebih 1100 peminat yang hadir menjadi saksi persembahan begitu istimewa itu.

"Saya sebenarnya kurang sihat sejak dua minggu lalu, malah terpaksa menggunakan nabulizer untuk bernafas. Tak pernah sakit seperti itu sebelum ini.

"Namun biasanya, kalau kita nak jumpa orang yang kita sayang (peminat), memang akan sakit dahulu. Apa-apapun, alhamdulillah semuanya dipermudah.

"Walaupun tidak optimum, tetapi semangat nak jumpa dengan peminat di konsert Liza Hanim 27 Years Journey ini, saya lalui dengan penuh semangat," katanya.


Liza berikan yang terbaik buat peminat dan penonton yang hadir.

Melunaskan janjinya kepada peminat, penyanyi yang pernah tampil dengan tujuh buah album studio itu menyampaikan lebih 30 lagu dengan menyenaraikan seleksi lagu hits yang sentiasa menjadi kegemaran peminat setia, sekali gus mengimbau nostalgia perjalanan 27 tahun dirinya dalam industri.

Antaranya seperti Getaran Cinta Di Jiwa, Cintaiku Aku Sepenuh Jiwa, Lepas Biar Bersebab, izinkan Ku Berlalu, Ku Idamkan Rindu, Biarkan Aku Merinduimu, Kerana Terlalu Menyintaimu, Puteri Jelmaan, Merawat Luka Terpendam, Lara, Siapa Sangka Siapa Menduga, Andainya Aku Bersuara, Kuteruskan, Gelisah Mimpi dan lain-lain.

Tidak ketinggalan karya-karya baharu yang turut mendapat perhatian peminat seperti Sejuta Maaf, Bahagiakan Dia dan Tiada yang didedikasikan buat Allahyaraham bapanya, Abdul Halim Abdul Razak.

Liza gagal mengawal emosi saat mendendangkan lagu Tiada sehingga terpaksa menghentikan nyanyian seketika sebelum menyambung kembali persembahan. Dia menyifatkan arwah bapanya yang meninggal dunia pada 2019 itu sebagai insan yang bertanggungjawab menjadikan dirinya, Liza Hanim.

Emosi dibawa dengan gemersik suaranya berlagu sangat menggetarkan hati dan membuatkan penonton turut terkesan dengan persembahan tersebut.

"Saya sudah berjanji pada diri sendiri untuk tidak menangis malam ini. Ini kerana saya tidak pernah dapat selesaikan lagu ini tanpa berhenti menangis," ujarnya sebelum menyanyikan lagu gubahannya sendiri dengan lirik tulisan Fedtri Yahaya.

Tidak hanya itu, ibu kepada lima cahaya mata itu memberikan kejutan apabila tampil berpadu suara dengan anak sulungnya, Marsya Qistina, menyampaikan lagu Bahagiakan Dia yang merupakan single duet bersama Shila Amzah. Marsya kemudiannya tampil solo menyampaikan lagu Temanku Tersayang yang dipetik daripada album pertama Liza.

Seperti mana ibunya, Marsya petah berbicara dan sangat menghiburkan dengan celoteh bersahajanya mengisi momen di pentas sebelum melakukan persembahan.

Segmen Tribute

Lebih istimewa, konsert anjuran LH Media bersama Laugh Out Loud Entertainment itu turut menampilkan segmen khas, tribute buat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma.

Liza yang cukup sinonim dengan lagu-lagu seniman agung itu tampil menyampaikan lagu Jeritan Batinku, Dimana Kan Ku Cari Ganti dan Istana Cinta yang pernah dimuatkan dalam album keduanya, Di Mana Kan Ku Cari Ganti, iaitu sebuah album tribute terbitan tahun 1998. ketika bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Records.


Pada segmen tersebut, penyanyi asal Klang, Selangor itu turut mengenang pemergian insan-insan belakang tabir yang banyak berjasa sepanjang perjalanan kerjaya seninya.

Benarlah kata Liza, perjalanan 27 tahun dalam industri itu, bukan hanya tentang dirinya sahaja, tetapi juga mereka yang turut menjadi tonggak kepada kejayaannya sebagai anak seni, selain para peminat.

Namun, mungkin lebih menarik jika penyanyi yang dicungkil bakatnya daripada program Golden Teen Search terbitan RTM pada 1996 itu menyingkap serba sedikit kisah-kisah awal dan pahit manis pembabitannya dalam dunia seni sehingga berjaya mencipta dan melakar nama di papan atas dalam industri seni tanah air.

Apatah lagi, Pengarah Urusan Suria Records, Tan Su Loke, dan komposer Azmeer yang sebelum ini banyak terlibat dalam penghasilkan lagu dan albumnya sebelum ini turut hadir meraikan persembahan di konsert sulungnya itu. 

Suami dan anak-anak turut merai dan memberikan semangat buat Liza di konsert sulung.

Sebagaimana yang sering diperkatakan Liza, konsert tersebut amat bermakna buat dirinya dan dia benar-benar memaksudkan kata-kata itu sepanjang berada di pentas. Meskipun kondisi diri dan kesihatannya belum sepenuhnya pulih, kemampuan penyanyi yang cukup dikenali dengan sikap rendah diri itu melontarkan vokal dengan nota-nota tinggi yang begitu sinonim dengan lagu nyanyiannya sangat mengagumkan. 

Lebih indah apabila penonton dan peminat yang hadir tidak henti-henti menyanyi bersamanya sepanjang konsert berlangsung sekali gus, memberitahu tentang keterlibatan mereka dalam perjalanan seni penyanyi itu.

Meski ada kalanya terlihat sedikit gementar, Liza yang mengenakan busana rekaan Rizman Ruzaini dan Raffie Nasir itu ternyata hebat dengan energi dan persembahan berimpak yang pasti akan dikenang-kenang peminat seusai konsert berakhir.

Cuma mungkin pemilihan lagu My Heart Will Go On, nyanyian asal Celine Dion sebagai penutup tirai konsert terlihat sedikit janggal. Barangkali lebih indah jika peminat dan penonton ditinggalkan dengan lagu hits nyanyian Liza sendiri yang pastinya lebih memberi makna.

Apa-apapun, Liza tetap cemerlang menterjemahkan perjalanan seninya menerusi persembahan penuh kualiti yang berlangsung dengan gemilang pada malam 4 Februari lalu.  Terima kasih Liza Hanim!

Liza Hanim 27 Years Journey In Concert yang mendapat sokongan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui MyCreative Ventures Sdn Bhd itu turut dihadiri barisan artis terkenal tanah air seperti Ziana Zain, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Jaclyn Victor, Marsha Milan, Nikki Palikat, Noryn Aziz, Aisha Retno, Dina Nadzir, Haziq Hussni dan Dafi Ismail.  - 7KLIK


[FOTO: LH Media - Terima kasih Opie]

Post a Comment

Previous Post Next Post