DUNIA Eternia kembali menjadi perhatian apabila francais ikonik Masters of the Universe dihidupkan semula menerusi adaptasi live-action yang menggabungkan elemen aksi, fantasi dan pengembaraan.Mengangkat semula kisah legenda He-Man, filem ini mengikuti perjalanan Prince Adam yang kembali ke Eternia selepas terpisah selama 15 tahun. Namun, kepulangannya menemukan dunia asalnya yang telah musnah di bawah pemerintahan kejam Skeletor.
Dengan bantuan Sword of Power, Adam perlu menerima takdir sebenar dirinya serta bergabung bersama sekutu terdekatnya, Teela dan Duncan/Man-At-Arms, untuk menyelamatkan keluarga dan tanah kelahirannya sebagai He-Man, individu paling berkuasa di alam semesta.
Mula ditayangkan secara global menerusi Prime Video pada 22 Julai, filem arahan Travis Knight ini menampilkan barisan pelakon seperti Nicholas Galitzine sebagai Prince Adam/He-Man, Camila Mendes (Teela), Idris Elba (Duncan/Man-At-Arms) serta Jared Leto (Skeletor).
Turut membintangi filem ini ialah Alison Brie, James Purefoy, Morena Baccarin, Jóhannes Haukur Jóhannesson, Charlotte Riley serta menampilkan suara Kristen Wiig sebagai Roboto.
Di Sebalik Dunia Eternia, Produksi Utamakan KelestarianDi sebalik aksi berskala besar dan dunia fantasi yang menjadi nadi
Masters of the Universe, produksi filem ini turut memberi perhatian terhadap aspek kelestarian sepanjang proses penggambaran.
Pasukan produksi melaksanakan beberapa inisiatif tenaga bersih ketika menjalani penggambaran di kawasan luar bandar England, termasuk penggunaan kenderaan elektrik Mercedes untuk membawa sebahagian besar barisan pelakon dan penerbit ke lokasi penggambaran.
Kemudahan pengecasan kenderaan elektrik turut disediakan di kawasan produksi, manakala tenaga untuk kawasan utama produksi dan sistem pengecasan pula disokong menerusi penggunaan Hydrogen Power Units (HPU) daripada GeoPura.
Sistem tenaga bersih tersebut hanya menghasilkan pelepasan berupa air serta beroperasi dengan tahap bunyi yang sangat rendah, sekali gus membantu mengurangkan kesan alam sekitar sepanjang proses pembikinan filem.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen lebih luas Amazon dalam memperkukuhkan usaha kelestarian merangkumi pelbagai bidang operasi, termasuk industri hiburan.
Selain itu, francais
Masters of the Universe yang telah bertahan lebih 40 tahun turut terus membawa mesej tentang kekuatan dalaman menerusi kempen 'You Have The Power!'.
Bersama Save the Children, Amazon MGM Studios dan Mattel meneruskan kempen kebajikan global yang bertujuan membantu kanak-kanak di seluruh dunia mendapatkan permulaan hidup yang sihat, peluang pendidikan serta perlindungan daripada bahaya.
Peminat yang ingin menyokong usaha tersebut boleh membuat sumbangan menerusi platform Pledge atau menghantar mesej teks HERO ke 707070, dengan semua sumbangan disalurkan terus kepada Save the Children.
Diadaptasi daripada francais
Masters of the Universe ciptaan Mattel, filem ini diterbitkan oleh Amazon MGM Studios bersama syarikat produksi Escape Artists dan Mattel.
Menggabungkan aksi, sains fiksyen dan pengembaraan, naskhah ini hadir dengan pendekatan moden untuk memperkenalkan semula dunia He-Man kepada generasi baharu, sambil mengekalkan nilai keberanian, kekuatan dalaman dan perjuangan mempertahankan kebenaran.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments