Tonton, Gores & Menang untuk pembeli tiket konsert Wings The Rock Emperor - Penang Chapter



KOTA Singa dan Bandaraya Shah Alam sudah dijelajahi, kini kumpulan rock legenda, Wings menerbangkan sayap mereka ke Pulau Pinang pula sebagai destinasi terbaharu Konsert The Rock Emperor.

Kali ini Wings yang dianggotai oleh Datuk Awie selaku vokalis, Eddie (bass), Black (dram), Sham (gitar) dan Edrie (gitar) akan menggegarkan SPICE Arena Penang menerusi Konsert Wings The Rock Emperor - Penang Chapter yang akan berlangsung pada jam 9 malam, 24 Februari depan.

Menurut Awie, untuk konsert tersebut, mereka akan mengetengahkan satu konsep baharu iaitu Tonton, Gores & Menang kepada penonton.

"Untuk setiap tiket, kita akan buat satu Gores dan dalam Gores itu ada hadiah-hadiah tertentu yang akan dimenangi oleh penonton bertuah.

"Terdapat lebih 700 barangan akan diberikan kepada pembeli tiket Konsert Rock Emperor. Ia merangkumi semua pembeli daripada tiket berharga RM95 sehingga lebih RM300.

"Barangan untuk dimenangi itu termasuk 'prelove' barangan Wings terpakai yang akan kita hadiahkan kepada pemenang-pemenang," katanya. 


Tambah Awie, meskipun keseluruhan peminat berpuas hati dengan apa yang ditampilkan dalam dua konsert terdahulu, Wings akan tetap akan melakukan perubahan dalam persembahan terbaharu itu.

"Insya-Allah kita akan cuba perbaiki apa sahaja kelemahan-kelemahan yang ada sebelum ini. Wings akan buat lagi bagus.

"Dah tentu konsert ini tidak akan sama seperti yang berlaku di Shah Alam. Kita akan ubah sikit repertoire dan juga persembahan serta akan jadikan intronya lebih menarik di Pulau Pinang.

"Lokasinya tidak terlalu besar sangat. Untuk itu, kami akan sesuaikan persembahan dengan tempat itu," katanya.

Konsert The Rock Emperor sebelum ini membuka tirai di pentas The Star Theatre Singapura, pada 29 Julai tahun lalu, diikuti Wings The Rock Emperor - Kuala Lumpur Chapter di Stadium Malawati pada 16 Disember baru-baru ini.

Kedua-dua siri konsert tersebut mendapat sambutan yang cukup hangat daripada peminat. Malah konsert Wings The Rock Emperor - Kuala Lumpur Chapter di Stadium Malawati mencatat sejarah tersendiri dengan kehadiran lebih 9,000 peminat tegar mereka.

Persembahan berkonsepkan teaterikal dengan tema ala 'viking' ditampilkan mereka, benar-benar memukau semua yang hadir.

Penonton yang hadir rata-rata memuji kehebatan kumpulan yang sudah bertapak hampir empat dekad dalam industri muzik tanah air dan sukar dicari ganti itu.


Ternyata ramai masih teruja menyaksikan kehebatan vokal Awie yang masih hebat menyanyikan lebih 20 lagu popular Wings menerusi konsert mega berdurasi lebih tiga jam itu.

Usia yang menjangkau 55 tahun bukanlah halangan buat Awie mempamerkan kemantapan vokal dan showmanship di pentas dengan penuh energi.

Begitu juga dengan anggota lain juga yang melewati sekitar usia sama, tetap mantap dengan persembahan instrumen masing-masing, sekali gus melengkapi persembahan kumpulan yang dilihat mempunyai semangat 'brotherhood' yang sangat kuat itu.

Tiket Konsert Wings The Rock Emperor - Penang Chapter dijual dengan harga RM95, RM115, RM158, RM188, RM258 dan RM315. Pembelian boleh dibuat menerusi laman web:  https://wings.ubertickets.asia .  - 7KLIK


Post a Comment

Previous Post Next Post