Pelakon 'Impian Illyana' Lydia Ibtisam Meninggal Dunia


PELAKON Lydia Ibtisam meninggal dunia pada usia 46 tahun akibat komplikasi penyakit autoimun di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur kira-kira jam 4 petang, pada Khamis.

Allahyarham yang bernama penuh Nur Lydia Ibtisam Abdul Wahab dilaporkan mengalami komplikasi apabila penyakit yang dihidapinya itu telah menjejaskan buah pinggang serta beberapa organ dalaman lain.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham difahamkan berada dalam keadaan kritikal dan menjalani beberapa prosedur rawatan selepas penyakit autoimun yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu menjadi semakin agresif. Allahyarham juga dilaporkan mengalami jangkitan kuman dan menjalani pembedahan pada Isnin lalu.

Berita pemergian Lydia disahkan oleh suaminya, Ezam Merican dan turut memaklumkan jenazah isterinya itu akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Georgetown, Pulau Pinang untuk diuruskan sebelum dikebumikan malam ini.

Lydia mula mencipta nama dalam industri seni menerusi beberapa drama popular pada penghujung era 1990-an dan awal 2000-an. Antara naskhah paling meninggalkan kesan ialah drama bersiri Impian Ilyana, yang melonjakkan namanya dalam kalangan penonton tempatan.

Selain lakonan, Allahyarham turut memiliki bakat dalam bidang nyanyian dan pernah menyampaikan lagu tema drama Impian Ilyana serta lagu Pilihlah Aku, yang menjadi lagu tema sitkom Dunia Anita.

Allahyarham Lydia meninggalkan suami, Ezam Merican, serta dua cahaya mata. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments